Kuala Lumpur: Kumpulan budak lelaki Palestin itu bangun dan duduk berulang kali. Tangan mereka masih menggenggam erat tong kosong yang boleh memuatkan isipadu lima liter air.

Lenguh berdiri lama, mereka akhirnya terpaksa duduk mencangkung. Mungkin keletihan dan kebas kaki sepanjang tempoh menunggu kehadiran lori membawa bekalan air bersih minuman di kem pelarian di kawasan AlMawasi, Khan Younis, selatan Gaza.

Di sudut khemah dihuni, beberapa anak kecil menangis kehausan dan kelaparan. Tangisan si kecil itu turut menjentik hati puluhan pelarian Palestin lain berada berhampiran. Semua mereka menunggu penuh harap dan 'menagih' bantuan air bersih akan tiba.

Ketika itu lebih 100 individu berbaris panjang di bawah terik mentari. Masing-masing menjinjing tong, baldi atau botol kosong bagi mendapatkan bantuan air minuman.

Mujurlah tidak lama kemudian muncul lori membawa tangki bermuatan air bersih diperlukan. Bantuan air bersih itu kemudian diagihkan segera menggunakan dua hos.

Kegirangan jelas terpamer apabila ada antara mereka segera meneguk air diterima itu bagi menghilangkan dahaga.

Bantuan air bersih ke kem pelarian di Gaza itu diusahakan sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) diketuai Pengerusi MCM di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar.

Walaupun dihimpit kedukaan kesan kekejaman tentera Israel namun bantuan MCM ini sedikit sebanyak menampung sebahagian kesedihan yang hadir ketika ini.

Bekalan air bersih diperolehi mampu digunakan selama beberapa hari untuk bekalan minuman dan memasak makanan.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya melalui wakilnya di Gaza, Ahmed Abu Ayesh meneruskan usaha menyalurkan sumbangan keperluan makanan dan bantuan asas kepada pelarian Palestin di Gaza.

Menurutnya, selain membina kem pelarian di kawasan AlMawasi, terbaru pihaknya turut mendirikan surau bagi kegunaan pelarian berkumpul dan beribadah.

"Surau diberi nama surau Al Mutahabein terletak di kem pelarian Sumoud. Ia dibina di celah-celah medan perang menggunakan kayu dan kanvas.

"Walaupun serba kekurangan namun surau ini mampu menampung hampir 50 individu untuk menunaikan solat berjemaah," katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya terus berusaha untuk menyalurkan sumbangan makanan dan keperluan asas lain kepada penduduk Palestin di Gaza,

"Melalui usaha tidak kenal lelah, Ahmed Abu Ayesh dan pasukan sukarelawan MCM di sana, kami berjaya memberi bantuan termasuk mengagihkan daging korban baru-baru ini.

"Rata-rata penduduk Palestin di sana ketiadaan bekalan elektrik, air bersih dan bahan api untuk meneruskan kehidupan. Mereka benar-benar sedang ditekan dan ditindas secara berterusan terang-terangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 6:50 AM