KEKURANGAN makanan berkhasiat serta air bersih menambah derita kanak-kanak di Gaza.
KEKURANGAN makanan berkhasiat serta air bersih menambah derita kanak-kanak di Gaza.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Di mana hilangnya rasa simpati dan perikemanusiaan terhadap anak-anak kecil Palestin yang terus menjadi sasaran pembunuhan genosid Israel.

Ringkasan Berita

  • Lebih 140 kanak-kanak Gaza dibunuh atau hilang setiap hari akibat serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu
  • Save the Children menyatakan keadaan di Gaza menghalang pengumpulan maklumat yang tepat
  • 17,000 kanak-kanak kehilangan ibu bapa atau terpisah dari keluarga; ramai berdepan kebuluran dan kekurangan zat
  • Kekejaman berterusan tidak boleh diterima akal ini semakin parah apabila statistik menunjukkan lebih 140 kanak-kanak Gaza dibunuh atau 'ghaib' setiap hari.

    Angka itu berdasarkan 15,000 kanak-kanak Palestin terkorban dalam tempoh 241 hari serangan (sehingga semalam) tanpa henti tentera Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.

    Jumlah kematian itu turut mengambil kira pendedahan terbaru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save the Children yang mendakwa 20,000 lagi kanak-kanak Palestin hilang di Gaza dalam tempoh sama.

    Kehilangan kanak-kanak malang ini berkemungkinan akibat terbunuh atau terperangkap di bawah runtuhan bangunan serta rumah.

    Ramai antara anak kecil ini dikebumikan dalam kubur besar tidak bertanda atau terpisah daripada keluarga mereka sebagai pelarian.

    Badan kebajikan berpangkalan di UK itu berkata,hampir mustahil untuk mengumpul dan mengesahkan maklumat di bawah keadaan semasa di Gaza di mana Israel meneruskan serangan darat dan udaranya tanpa henti.

    KANAK-KANAK berdepan masalah kebuluran dan  kekurangan zat kritikal.
    KANAK-KANAK berdepan masalah kebuluran dan kekurangan zat kritikal.

    Malah, lebih menyedihkan apabila 17,000 kanak-kanak Palestin di Gaza hilang ibu atau bapa atau terpisah dari ahli keluarga sejak perang meletus.

    Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar berkata, kekejaman terhadap kanak-kanak Palestin di Gaza tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti.

    "Jika benar serangan didakwa ditujukan terhadap pejuang Hamas di Gaza, mengapa kanak-kanak kecil tidak berdosa ini yang menjadi mangsa.

    "Jumlah ini tidak termasuk bilangan kanak-kanak atau remaja yang tidak diketahui ditahan dan dipindahkan secara paksa keluar dari Gaza oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

    "Serangan menggila tentera Israel di Rafah memisahkan lebih ramai kanak-kanak dan meningkatkan lagi tekanan kepada keluarga dan komuniti yang menjaga mereka," katanya.

    Menurutnya, setiap hari anggota pertubuhan kemanusiaan di Gaza menemui lebih ramai kanak-kanak tanpa ibu bapa berkeliaran di jalanan.

    "Ada antara mereka terpisah dengan keluarga atau hilang punca. Tiada tempat selamat di Gaza yang membolehkan kami mengesan waris mangsa.

    "Jika ada penduduk Gaza yang simpati dan mahu membantu anak-anak kecil ini, mereka turut bergelut dengan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan dan air," katanya yang berusaha memberi bantuan dengan membuka kem pelarian di kawasan AlMawasi, Khan Younis, selatan Gaza.

    Sementara itu, ramai kanak-kanak Palestin di Gaza berdepan masalah kebuluran dan kekurangan zat yang kritikal.

    Pakar perubatan di Gaza berusaha meningkatkan saringan terhadap kanak-kanak kecil yang kelaparan dan berdepan risiko penyakit serta kematian.

    Ahli kumpulan bantuan Kor Perubatan Antarabangsa (IMC) Dr Munawwar Said berkata, pihaknya berusaha membantu 200,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun

    Menurutnya, klinik IMC dibuka di pusat bandar Deir al-Balah, namun dua lagi klinik di bandar selatan Rafah terpaksa ditutup susulan serangan.

    "Apa yang utama kini menyediakan bekalan makanan berkhasiat dan air bersih kepada kanak-kanak malang ini.

    "Majoriti anak-anak malang di Gaza hilang berat badan mendadak selain alami cirit-birit dan muntah kesan isu kebersihan penempatan pelarian, kemudahan sanitasi dan jangkitan penyakit.

    "Amat menyedihkan apabila ramai kanak-kanak Gaza kini mempunyai wajah pucat cengkung dan menampakkan tulang badan akibat kekurangan makanan serta air," katanya.

    Sementara itu, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pihak meneruskan usaha menyalurkan sumbangan sebanyak mungkin kepada penduduk Gaza.

    "Melalui bantuan Ahmed Abu Ayesh, ribuan rakyat Palestin ditempatkan di kem pelarian khas dilengkapi dengan tandas dan sistem solar.

    "Ketika ini penduduk Gaza terus berjuang untuk terus hidup. Mereka tidak dapat mencari makanan, air atau kemudahan asas lain di sana," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:02 AM