RAMLI Mohamed Yoosuf (kanan) pada sidang media. FOTO Bernama
RAMLI Mohamed Yoosuf (kanan) pada sidang media. FOTO Bernama
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Jumlah kerugian akibat kes jenayah komersil termasuk penipuan dalam talian mencatatkan nilai mencecah RM1.2 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 15,500 kes jenayah komersil direkodkan bermula 1 Januari hingga 7 Julai lalu.

"Secara keseluruhan, jumlah kes jenayah komersil untuk tempoh sama tahun lalu mencatat peningkatan 34 peratus atau bersamaan dengan 11,546 kes.

"Secara purata, jumlah kes pada tahun ini bersamaan dengan 65 kes setiap hari.

"Jumlah kerugian juga melonjak dengan ketara kepada RM1.2 bilion berbanding kerugian tempoh sama yang mencatatkan jumlah RM660,886.00 pada tahun lalu," katanya semalam.

Ramli berkata, peningkatan kes dan jumlah kerugian ini adalah satu cabaran utama bagi jabatannya.

"Dalam memastikan komitmen kita (JSJK) memerangi kes penipuan jenayah komersil ini, sebanyak 5,559 kertas siasatan (IP) telah berjaya dilaksanakan untuk proses pendakwaan.

"Jumlah ini juga adalah satu peningkatan berbanding 2,218 kertas siasatan yang dibawa ke proses pendakwaan untuk tempoh sama pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata peningkatan kes-kes jenayah komersil ini memerlukan komitmen secara bersama daripada semua lapisan masyarakat khususnya dalam aspek pencegahan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menyeru penglibatan semua pihak untuk sentiasa cakna dan mengambil bahagian dalam pelbagai usaha pencegahan jenayah komersil secara berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:01 PM