BANTUAN antarabangsa yang dihantar melalui udara untuk penduduk Palestin. FOTO AFP
BANTUAN antarabangsa yang dihantar melalui udara untuk penduduk Palestin. FOTO AFP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Terpaksa berteduh di kandang lembu bersama pelarian lain susulan kediaman dihuni musnah diranapkan tentera Israel.

Itu situasi sedih dilalui Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar yang masih terperangkap dalam kepungan tentera Israel di selatan Semenanjung Gaza.

Abu Ayesh memaklumkan, dia mendirikan dua khemah perlindungan yang turut digunakan kanak-kanak Palestin di Gaza untuk mengaji al-Quran.

Katanya, serangan bertalu-talu Tentera Pertahanan Israel (IDF) masih berlaku di selatan Gaza dan membunuh puluhan nyawa setiap hari.

"Antara individu sering menjadi sasaran serangan Zionis adalah petugas sukarelawan dan anggota badan bukan kerajaan (NGO).

"Mereka individu yang gigih menyalurkan bantuan makanan dan perubatan kepada penduduk di Gaza. Bagaimanapun Zionis tidak mahu walau sekeping roti pun sampai kepada penduduk di Gaza,," katanya.

Katanya, penggunaan media sosial termasuk WhatsApp di Tebing Gaza berdepan gangguan serius.

"Atas sebab tidak diketahui, saya hanya boleh membaca mesej (WhatsApp) tetapi tidak dapat menghantar balasan. Saya hanya boleh menghubungi orang di sini (penduduk Palestin) menggunakan aplikasi Telegram.

"Alhamdulillah, saya okay. Saya kini tinggal dalam khemah kecil di lokasi yang pernah menjadi kandang lembu di Mawasi Rafah selatan Gaza,

"Kandang ini kosong berikutan semua lembu disembelih untuk makanan penduduk Palestin memasuki bulan kedua perang (November)," katanya.

ABU Ayesh dan sukarelawan MCM berlindung dan menyediakan  makanan di kandang lembu.
ABU Ayesh dan sukarelawan MCM berlindung dan menyediakan makanan di kandang lembu.

Menurutnya, keperluan dan permintaan terhadap bekalan makanan serta minuman di Gaza tidak dapat dibayangkan.

"Melalui sumbangan disalurkan rakyat Malaysia kepada MCM, saya dan sukarelawan lain mampu menyediakan hidangan iftar. Walaupun ringkas, penduduk Palestin dapat berbuka puasa dengan senyuman.

"Saya serta rakyat Palestin di Gaza berterima kasih kepada Muslim Care dan seluruh rakyat Malaysia atas bantuan yang disumbangkan," katanya.

Abu Ayesh berkata, dia mengedarkan bantuan roti kepada keluarga penduduk Gaza yang kebuluran.

"Saya dan sisa sukarelawan mengadun serta membakar roti membabitkan empat beg tepung gandum setiap hari. Setiap beg tepung gandum seberat 25 kilogram.

"Roti ini turut diedarkan untuk iftar Ramadan di khemah pelarian.

"Amat menyedihkan apabila kanak-kanak kelaparan mengejar kami untuk mendapatkan makanan," katanya.

Katanya, selain roti, dia berusaha mendapatkan bekalan makanan lain termasuk sayur dan buah.

"Saya masih cuba membantu sedaya upaya (penduduk Gaza) walaupun hakikatnya saya tiada pasukan khas (sukarelawan) atau kenderaan untuk mencari bekalan makanan. Kenderaan disumbangkan MCM sebelum ini musnah diletupkan roket Zionis.

"Saya harap dan berdoa perang genosid dan kezaliman ini berakhir. Terima kasih rakyat Malaysia atas doa. Saya sayang awak semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 7:15 AM