Ketua Jurulatih Sang Kenari Nafuzi Zain bersyukur momentum tiga mata dapat dikekalkan skuadnya semalam. STR / IZZALI ISMAIL.
Ketua Jurulatih Sang Kenari Nafuzi Zain bersyukur momentum tiga mata dapat dikekalkan skuadnya semalam. STR / IZZALI ISMAIL.
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menganggap momentum kemenangan 3-0 yang dicapainya selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada aksi Liga Super di laman sendiri semalam sebagai perkembangan positif bagi meletakkan Sang Kenari pada kedudukan kelompok atasan Liga Super.

Menurut pengendali KDA, Nafuzi Zain, tiga mata yang diperolehi skuadnya itu sangat penting bagi meneruskan perancangan serta misi selanjutnya Sang Kenari dalam Liga Super selepas tewas kepada Selangor FC dan Perak FC pada Mei lalu.

"Satu kemenangan dengan tambahan tiga mata yang amat penting dan amat berharga kerana kita tahu kita perlu meneruskan momentum kemenangan selepas kita tewas dua kali dalam Liga Super sebelum ini.

"Kami mahu mengejar kelompok atas liga dan sebab itu kami berusaha untuk menang tambahan pula beraksi di laman sendiri.

"Ini juga persediaan dari segi moral untuk kami menghadapi aksi seteusnya dalam separuh akhir Piala FA menentang JDT pada 19 Julai nanti di laman sendiri," katanya.

Nafuzi juga berkata, meskipun skuadnya berjaya kekalkan momentum itu, beliau masih melihat beberapa aspek kelemahan dibahagian serangan dan juga pertahanan yang perlu diatasi segera bagi memantapkan lagi kekuatan pasukan.

"Untuk keputusan pasukan nampak bagus, tapi bagi saya masih banyak kelemahan yang kita perlu perbaiki dan tingkatkan dari segi pertahanan agar tidak bolos dan juga pergerakan dalam serangan.

"Keputusan 'OK', tapi kita perlukan satu pasukan yang betul-betul kukuh, 'solid' dan kuat kerana walaupun kita tanpa bolos, tetapi pihak lawan masih ada peluang untuk menjaringkan gol dan itu yang cuba kita elakkan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 2:01 PM