DR Dzulkefly ketika berucap pada Majlis penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas. FOTO Noorazura Abdul Rahman
DR Dzulkefly ketika berucap pada Majlis penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Kerajaan memberi jaminan akan bertanggungjawab merawat penerima vaksin Covid-19 termasuk jenis AstraZeneca yang terbukti mengalami kesan sampingan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan memiliki semua data berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin Covid-19.

Selain itu katanya, kerajaan turut mempunyai kaedah untuk merawat kesan sampingan berkenaan.

"AstraZeneca telah memanggil vaksin mereka dan ini adalah global, apa yang kita mahu pastikan adalah kalau ada sesiapa yang ada terbukti 'evidence base' yang terkait dengan vaksin AstraZeneca, kita memang punya cara untuk pastikan mereka diberikan bantuan.

"Memang ada kaedah kita untuk bertanggungjawab merawat mereka dan itu jaminan yang diberikan kerajaan. Jadi kita ada data itu kalau benar dapat buktikan, kita akan berikan dan pastikan susulan rawatan termasuk berikan segala bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Badioezaman Ab Khalik dan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria.

Dzulkefly berkata kerajaan turut akan bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac, sekiranya turut terbukti menghadapi kesan sampingan.

Sebelum ini, firma farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca dilaporkan menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia.

Susulan daripada itu, Dzulkefly dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu penarikan balik vaksin Covid-19 berkenaan dalam masa terdekat.

Sementara itu, ditanya sama ada isu berkenaan akan mencetuskan kebimbangan dan keyakinan masyarakat terhadap vaksin, Dzulkefly berkata isu berkaitan vaksin Covid-19 itu tidak akan memberi kesan terhadap program vaksin lain termasuk Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

Katanya, walaupun ada segelintir pihak yang sangat sensitif dengan isu vaksin, namun NIP yang menjadi amalan di negara ini sejak sekian lama berjaya meningkatkan imunisasi kanak-kanak serta mencegah jangkitan penyakit serius.

"Vaksin Covid-19 satu hal lain, kita juga ada program-program vaksinasi seperti HPV untuk menamatkan kanser pangkal rahim, kita juga ada NIP, ibu bapa yang punyai anak berasa terbantu kerana untuk mendapatkan vaksin ini mahal.

"Tidak ada pertikaian dalam hal itu, saya yakin rakyat tahu, punya pendidikan, punya pencerahan dan punya pengetahuan dan kita akan terus memberikan pendidikan kepada rakyat," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 2:40 PM