GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pekerja asing maut selepas terjatuh dari bumbung setinggi 12 meter (m) dalam kejadian di sebuah kilang di Perai, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 29 tahun itu sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung di kilang terbabit.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima maklumat berhubung kemalangan itu.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah pekerja kontraktor yang dilantik oleh kilang terbabit untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung.

"Sebelum kejadian, mangsa bersama tiga pekerja lain sedang menjalankan kerja-kerja mengetatkan nut pada alang besi.

"Bagaimanapun, mangsa dikatakan terjatuh dari ketinggian 12m dan dikejarkan ke hospital sebelum dilaporkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, akibat kematian mangsa, JKKP mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta-merta di kawasan kejadian sehingga siasatan selesai dijalankan.

Katanya, pihak majikan juga diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan untuk laporan kepada JKKP.

"Kita akan menjalankan siasatan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, merakam percakapan saksi dan lawatan susulan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil," katanya.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor serta sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:27 PM