JESSICA Hull. FOTO Agensi
JESSICA Hull. FOTO Agensi
Reuters

Monaco: Jessica Hull dari Australia memecah rekod dunia dalam acara 2,000 meter wanita dalam saingan olahraga Liga Berlian Monaco sekali gus permulaan baik sebelum bertanding di Sukan Olimpik Paris hujung bulan ini.

Hull, 27, mencatatkan lima minit 19 saat dalam acara 2,000 meter yang jarang dipertandingkan untuk memadam rekod lama milik pelari Burundi, Francine Niyonsaba yang dilakukan oada 2021 lalu.

"Sungguh luar biasa apabila saya bersendirian pada pusingan terakhir, semua orang bersorak untuk saya.

"Saya hanya melihat lampu dan berharap ia tidak menganggu rentak larian saya. Sungguh mengagumkan untuk memegang rekod dunia yang baharu.

"Larian saya lebih pantas sekarang kerana saya sudah berlatih dengan cukup baik sepanjang empat tahun lalu dan keadaan fizikal saya lebih kuat," katanya.

Kemenangan di saingan Monaco itu adalah yang pertama buat Hull selepas empat hari sebelum itu dia mengakhiri cabaran 1,500m di tempat kedua dalam saingan Liga Berlian di Paris.

Hull tewas di tangan pelari Kenya, Faith Kipyegon untuk terlebih dulu tiba di garisan penamat dan Kipyegon turut meleburkan rekod dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:32 PM