DR Dzulkefly Ahmad. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
DR Dzulkefly Ahmad. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu vaksin AstraZeneca dalam tempoh terdekat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, segala persoalan akan dijawab dan diedarkan dalam kenyataan berkenaan.

"Kita sudah ada jawapan (berkaitan vaksin AstraZeneca dan) akan dijawab serta diedarkan dalam kenyataan media.

"Datuk Ketua Pengarah (Dr Muhammad Radzi) akan mengeluarkan kenyataan rasmi (dalam tempoh terdekat)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bila Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan penarikan vaksin AstraZeneca.

Syarikat farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca menarik balik vaksin COVID-19 di seluruh dunia, lapor Telegraph baru-baru ini.

Menurut laporan itu, vaksin itu tidak lagi boleh digunakan di Kesatuan Eropah (EU) selepas syarikat itu secara sukarela menarik balik 'kebenaran pemasarannya'.

Permohonan menarik balik vaksin itu dibuat pada 5 Mac dan berkuat kuasa mulai 7 Mei.

Permohonan serupa akan dibuat di United Kingdom dan negara lain yang sudah meluluskan vaksin itu dikenali sebagai Vaxzevria pada bulan depan.

Sementara itu, menurut AstraZeneca, pihaknya memulakan penarikan vaksin Covid-19 di seluruh dunia kerana lebihan vaksin terkini yang tersedia sejak pandemik itu.

Syarikat itu juga berkata, pihaknya akan terus menarik balik kebenaran pemasaran vaksin Vaxzevria di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 5:43 PM