GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Sebanyak 362 syarikat menepati syarat untuk menuntut insentif tunai bagi projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) yang diperkenal Jun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 867 syarikat yang sudah membuka akaun menyertai projek rintis itu sehingga semalam.

Katanya, projek rintis DGP dilaksanakan sejak Jun sehingga Ogos ini bagi memberi galakan kepada majikan untuk menggaji pekerja dengan kadar minimum gaji antara RM1,500 dan RM4,999 sebulan.

"Bagi syarikat yang lulus penilaian, kita akan beri insentif tunai ini bagi menggalakkan mereka memberi pekerja gaji minimum DGP sebelum dilaksanakan secara menyeluruh Oktober ini.

"Ada syarikat sudah berjaya buat tuntutan dan beri kesan untuk gerakkan gaji progresif ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Umno Perwakilan Ketereh di Dewan Utama, Politeknik Kota Bharu, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, majikan boleh membuat pendaftaran di laman sesawang www.gajiprogresif.gov.my.

Katanya, terdahulu Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerima peruntukkan RM50 juta daripada Kementerian Kewangan untuk memberikan insentif tunai kepada 1,000 syarikat membabitkan manfaat kepada 20,000 pekerja bagi melaksanakan bayaran gaji minimum.

Bayaran itu membabitkan pembayaran kepada majikan dalam sektor pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, maklumat dan komunikasi serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:54 PM