SUASANA hiba kanak-kanak ketika menyambut Aidiladha.
SUASANA hiba kanak-kanak ketika menyambut Aidiladha.
SERANGAN dahsyat rejim Zionis ketika umat Islam menyambut AidilAdha meragut hampir 100 nyawa.
SERANGAN dahsyat rejim Zionis ketika umat Islam menyambut AidilAdha meragut hampir 100 nyawa.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Tiada pakaian baru untuk anak-anak kami, tiada agihan daging korban Aidiladha. Suasana di Gaza terus digegarkan dengan letupan bom dan tangisan ramai mangsa serangan bom Israel," ujar Nadia Mansoor, 40, yang kehilangan tempat tinggal di selatan Gaza.

Menurutnya, jutaan rakyat Palestin di Gaza terus bergelut untuk meneruskan hidup ditambah dengan krisis kebuluran yang kian meruncing.

"Serangan dahsyat tentera Israel ketika umat Islam menyambut AidilAdha semalam (kelmarin) meragut hampir 100 nyawa.

"Letupan boleh didengari dari kawasan pusat dan barat bandar paling selatan di Rafah. Sebahagian besar kawasan kediaman dan infrastruktur lain di Gaza musnah hingga menyebabkan penduduk hilang punca," katanya.

Menurutnya, di sebalik pertumpahan darah itu, rakyat Palestin di Gaza tetap menunaikan solat sunat Aidiladha di jalanan atau di tengah runtuhan masjid yang dibom Israel.

"Bunyi takbir dan khutbah tetap bergema di seluruh kawasan Tebing Gaza yang terkepung," katanya.

Menurutnya, tiada apa yang lebih menyedihkan pada sambutan Aidiladha kali ini kecuali mengingati kematian insan-insan tersayang sejak serangan Israel meletus 7 Oktober tahun lalu.

"Kami menderita kerana merindui keluarga kami, suami saya yang sudah [pergi'. Anak-anak juga merindui ayah mereka." katanya yang terpaksa melarikan diri ke selatan Rafah, Gaza susulan serangan tentera tanpa henti di utara Gaza.

"Rumah kami musnah menyebabkan kami hidup melarat. Kami kini terpaksa berlindung di dalam khemah pelarian. Kami sudah penat berlari dan berpindah randah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, serangan bom oleh Israel, wabak penyakit, krisis kebuluran dan kemudahan kesihatan menyebabkan semakin ramai penduduk Palestin terkorban saban hari.

"Hari raya Aidiladha tahun ini adalah hari berdarah. Tentera Israel terus menerus menyerang orang awam di kawasan pesisir pantai dan selatan Gaza," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar berkata,

tentera Israel menyerang dua rumah kediaman di kem pelarian al-Bureij di tengah Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang serentak.

"Kebanyakan yang maut adalah wanita dan kanak-kanak. Tentera Israel boleh membunuh nyawa kami, tapi mereka tidak boleh membunuh harapan kami untuk membebaskan tanah air kami.

"Tidak kira berapa banyak pembunuhan beramai-ramai dilakukan tentera Israel, tidak kira berapa banyak masjid yang dimusnahkan mereka, kami penduduk Palestin akan membuktikan kepada dunia bahawa kami adalah orang yang kuat dan beriman di jalan Allah SWT," katanya.

Sementara itu Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pihak berjaya melakukan program penyembelihan lembu korban di Gaza sebelum dagingnya diagihkan kepada ribuan penduduk Palestin yang menghuni kem pelarian di kawasan AlMawasi, Khan Younis, selatan Gaza.

Sejak itu tentera Israel meneruskan serangan ke atas Gaza, seramai kira-kira 37,347 penduduk Palestin terkorban manakala 85,372 lagi cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:01 AM