FARAH Kartini Abdullah yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu. FOTO ihsan Polis
FARAH Kartini Abdullah yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu. FOTO ihsan Polis
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: "Baliklah Farah, semua orang tunggu terutama mak, kasihan pada mak Farah."

Begitu kata wakil pengurusan kedai percetakan yang enggan dikenali berhubung kehilangan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sejak Rabu lalu.

Menurutnya, Farah bertugas di bahagian pemasaran di salah sebuah kedai percetakan, di sini, dan dia amat komited sepanjang hampir setahun bekerja di syarikat itu.

"Dia (Farah) tidak bekerja dengan syarikat perkhidmatan kereta sewa, sebaliknya hanya membantu secara sambilan menguruskan sewaan kereta kerana akan mendapat komisen.

"Pekerjaan secara sambilan berkenaan juga dibuatnya untuk membantu pelajar mencari kereta sewa jika pelajar mahu bergerak ke mana-mana destinasi," katanya.

Menurutnya, Farah dilihat kali terakhir selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di sebuah taman perumahan, di sini, kira-kira 8 pagi pada 10 Julai lalu

Katanya, wanita itu kemudian didakwa menaiki kereta berwarna merah yang tidak dikenal pasti nombor pendaftaran berikutan hujan pada waktu kejadian.

"Komunikasi terakhir salah seorang pengurusan kedai percetakan dengan Farah pada 8.14 pagi (hari kejadian), dan dia tidak dapat dihubungi selepas itu.

"Mereka cuba menghubungi Farah, tetapi tiada jawapan, malah pesanan WhatsApp juga tidak dibalas mahupun dibaca," katanya.

Katanya, pada malam hari kejadian, abang Farah yang tinggal di Selangor datang ke Tanjung Malim bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan mengenai adiknya.

"Saya mohon kepada Farah kalau terbaca berita ini, pulanglah Farah kerana kami tunggu Farah balik dengan selamat," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang wanita dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini yang berasal dari Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1.56 pagi semalam.

Kali terakhir wanita berkenaan dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:42 PM