Kehadiran 1 Syawal tidak dirasai rakyat Palestin akibat serangan berterusan tentera Zionis melalui udara, darat di Semenanjung Gaza.
Kehadiran 1 Syawal tidak dirasai rakyat Palestin akibat serangan berterusan tentera Zionis melalui udara, darat di Semenanjung Gaza.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Di manakah kegembiraan Syawal apabila semua masjid di Semenanjung Gaza runtuh diletupkan Israel? Kesedihan, krisis kelaparan dan ancaman nyawa menghilangkan nikmat Aidilfitri," ujar Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar.

Menurutnya, ketibaan Syawal sejak lapan hari lalu tidak dirasai berikutan serangan ganas berterusan oleh tentera Zionis melalui udara dan darat.

"Tentera Zionis mempertingkatkan operasi membunuh seramai mungkin rakyat Palestin di Gaza. Serangan pesawat pejuang dan kereta kebal ke arah Rafah di selatan Gaza diperhebatkan sejak semalam (kelmarin).

"Inilah lokasi perlindungan terakhir rakyat Palestin di selatan Gaza dan mungkin akan menjadi kubur besar kami kelak," katanya.

Selain Rafah, kereta kebal Israel turut menggempur kawasan Beit Hanoun di utara Gaza serta mengepung beberapa sekolah dan kem pelarian.

"Pada 1 Syawal lalu, kami penduduk Gaza hanya mampu melakukan solat sunat Aidilfitri di tapak masjid yang rosak teruk dan di jalanan.

"Ketika ini hujan lebat dan cuaca sejuk melanda Gaza. Ratusan ribu penduduk Gaza masih berlindung di khemah daif di Rafah.

"Tiada suasana indah Syawal dirasai. Tiada juadah makanan, membeli pakaian baharu atau berkumpul bersama sanak saudara seperti tahun sebelum ini. Malah lebih menyedihkan apabila jutaan penduduk Gaza tiada rumah untuk didiami," katanya.

Menurutnya, penduduk Palestin di Gaza hanya mampu menangis pada pagi 1 Syawal lalu berikutan kehilangan ramai ahli keluarga akibat pengeboman Israel.

Tambahnya, bekalan makanan asas masih tidak mencukupi dan rata-rata penduduk Gaza hanya mampu menjamah roti kosong yang dimasak sendiri menggunakan kayu api.

"Harga tepung gandum turut melonjak naik ke paras tidak munasabah mencecah AS$700 (RM3,290) seguni," katanya.

Ahmed Abu Ayesh berkata, seksaan dialami penduduk Palestin tidak akan berakhir selagi peperangan dan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel masih berterusan.

"Dakwaan kononnya tentera Zionis berundur dari bumi Gaza baru-baru ini adalah berita palsu. Sehingga kini sudah lebih 33,800 penduduk Gaza dibunuh mereka dan angka ini terus meningkat.

PENDUDUK Palestin menunaikan solat di atas jalan.
PENDUDUK Palestin menunaikan solat di atas jalan.

"Bagi menghalalkan pembunuhan, pegawai tentera Zionis menyalahkan Pertubuhan Hamas kononnya menggunakan orang awam di Gaza sebagai 'perisai manusia'.

"Malah, saudara terdekat saya, Buthaina Alnajjar adalah antara mangsa terbaharu yang dibunuh susulan serangan udara Zionis di Rafah.

"Tentera Zionis turut membunuh ramai mangsa yang berlindung di sekitar Tanah Perkuburan Timur di timur Rafah selain kawasan kejiranan al-Janina di timur bandar Rafah semalam," katanya.

Sementara itu Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM) Zulkifli Wahijan berkata, kekejaman tanpa henti Israel sejak 7 Oktober tahun lalu menyebabkan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.

"Lebih sejuta penduduknya tinggal bersesak-sesak di Rafah selatan Gaza selepas melarikan diri dari pengeboman ke utara Gaza.

"Apa yang dilalui mereka amat mengerikan dan mereka terus terperangkap dan dibunuh saban hari.

"Bekalan elektrik diputuskan oleh Israel sejak awal konflik. Malah, tindakan berulang kali Israel menyekat atau memperlahankan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza memburukkan lagi keadaan.

"Saya berharap umat Islam di Malaysia tidak henti mendoakan kesejahteraan saudara kita di Gaza. Teruskan memberi sokongan baik daripada segi moral, sumbangan wang dan segala yang termampu kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:02 AM