BOT yang dikatakan dinaiki lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang. FOTO ihsan JBPM Pahang
BOT yang dikatakan dinaiki lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang. FOTO ihsan JBPM Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh di Sungai Pahang berhampiran Kampung Belimbing, Pekan, pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 8.55 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat, pengadu memaklumkan melihat sebuah bot di seberang sungai yang hilang kawalan dan melihat seorang mangsa terjatuh ke dalam sungai.

"Berikutan itu, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan dan Maran termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ke lokasi kejadian.

"Dua pegawai polis dan orang kampung bersama lima bot turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha sedang dilakukan untuk mengakses ke lokasi mangsa jatuh dan setakat ini, status mangsa belum dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:22 PM