TIGA pekerja penyelenggaraan lebuh raya warganegara India maut selepas dirempuh sebuah kenderaan yang hilang kawalan dalam kejadian. FOTO ihsan Polis
TIGA pekerja penyelenggaraan lebuh raya warganegara India maut selepas dirempuh sebuah kenderaan yang hilang kawalan dalam kejadian. FOTO ihsan Polis
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tiga pekerja penyelenggaraan lebuh raya yang sedang bekerja maut sejurus dirempuh kereta yang hilang kawalan berhampiran Kilometer 3.1, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi tadi, seorang lagi mangsa iaitu pekerja warga Bangladesh mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 3.30 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Proton Waja dari arah Damansara menghala ke Klang hilang kawalan dan melanggar pembahagi tengah lebuh raya.

"Ketika itu terdapat kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan di kawasan berkenaan. Kemalangan mengakibatkan tiga lelaki warga India berusia 24 hingga 29 tahun yang juga kakitangan syarikat penyelenggaraan maut di lokasi kejadian.

"Manakala seorang lelaki warga Bangladesh mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan," katanya semalam.

Beliau berkata, pemandu kereta berusia 20-an ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987..

Katanya, ujian darah dan air kencing turut dijalankan bagi memastikan kandungan alkohol dan dadah.

"Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Asisten Superintendan Raja Mahadi Raja Mahmudin di talian 012-3097660.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 2:05 PM