DR Dzulkefly Ahmad. FOTO Bernama.
DR Dzulkefly Ahmad. FOTO Bernama.
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Sebanyak 9.1 juta vaksin Covid-19 pelbagai jenama terpaksa dilupuskan membabitkan kerugian sebanyak RM185 juta, setakat 11 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelupusan itu membabitkan beberapa perkara antaranya logistik dan juga penyimpanan stok.

Katanya, sejak program imunisasi Covid-19 bermula pada 24 Februari 2021, kerajaan menerima sebanyak 84.5 juta dos vaksin sama ada melalui perolehan atau sumbangan.

"Atas persoalan berapa kerugian, saya tidak bermaksud negatif terhadap menteri-menteri terdahulu sebelum saya.

"Bagi menteri-menteri terdahulu sebelum saya, mereka tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan dengan itu saya memahami kalau ada kelebihan ia terkait dengan persaingan untuk mendapatkan vaksin itu adalah sangat sengit," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berhubung jumlah sebenar vaksin Covid-19 yang terpaksa dilupuskan kerana telah tamat tempoh dan berapa anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan.

Dr Dzulkefly berkata, kerajaan menerima 26 laporan daripada sejuta membabitkan kesan sampingan serius akibat penerimaan vaksin Covid-19 termasuk kemasukan ke dalam wad atau membahayakan nyawa.

"Kami mengakui dan sangat sedar serta ada pemantauan berterusan oleh Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) .

"Setiap satu kematian itu kita akan susuli dengan forensik bagi mengenal pasti terkait sebab musabab akan kes serius itu yang sentiasa diambil tanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:32 PM