KUMPULAN meerkat di Zoo Drusillas Park meramalkan England akan memenangi Euro 2024. FOTO Agensi
KUMPULAN meerkat di Zoo Drusillas Park meramalkan England akan memenangi Euro 2024. FOTO Agensi
Agensi

London: Pengurus pasukan bola sepak England, Gareth Southgate dan anak buahnya nampak seperti tidak perlu terlalu bimbang untuk menentang Sepanyol pada final Euro 2024, awal pagi Isnin ini.

Ini kerana meerkat (cerpelai) di Zoo Drusillas Park United Kingdom (UK) yang mempunyai rekod ramalan tepat 100 peratus menjangkakan England akan memenangi perlawanan itu.

Daily Star melaporkan keputusan dijangka memihak kepada Three Lions yang akan mengalahkan La Roja dengan jaringan 2-1 berdasarkan baldi makanan yang dipilih kumpulan meerkat berkenaan.

Sebelum ini, kumpulan meerkat sama berjaya meneka dengan tepat pasukan yang akan menang antara England dan Belanda pada peringkat separuh akhir Euro 2024.

"Hari ini saya kembali dengan meerkat mistik untuk kali terakhir. Mereka (meerkat) meramalkan setiap perlawanan bola sepak dengan betul dan sekarang kami benar-benar berada di final.

"Meerkat boleh meramalkan keputusan akhir untuk kami. Perlawanan ini kelihatan sengit namun (kami) meramalkan kemenangan milik England...ayuh England," kata seorang ketua bahagian dari zoo dalam rakaman menunjukkan meerkat yang membuat ramalan.

Jurucakap Zoo Drusillas Park memberitahu Daily Star: "Meerkat mistik di Zoo Drusillas membuat ramalan mereka untuk perlawanan akhir Euro, dan ia adalah satu lagi kemenangan England, ia sudah hampir!

"Dengan menggunakan dua baldi makanan ditandakan bendera dua pasukan bertanding, baldi yang dikelilingi paling banyak meerkat diisytiharkan sebagai pemenang.

"Pada awalnya, meerkat ini kelihatan sangat sibuk makan di baldi bertanda bendera England, sebelum mengalih perhatian ke baldi Sepanyol, sebelum kembali ke baldi England.

"Mungkin ini menunjukkan lebih banyak masa tambahan dan penalti boleh menjadi pilihan untuk perlawanan akhir Ahad ini," katanya.

Olympiastadion di Berlin, Jerman akan menjadi gelanggang final Euro 2024 antara Sepanyol dan England.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:40 PM