GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Vientiane: Kempen pemvaksinan campak dan rubela di seluruh Laos mencapai hasil yang baik dengan 90 peratus daripada kanak-kanak yang disasarkan berjaya divaksin.

Kerajaan Laos menyasarkan untuk memvaksin sekurang-kurangnya 95 peratus daripada keseluruhan kanak-kanak berumur dari sembilan bulan sehingga lima tahun bagi mengelakkan meletusnya wabak campak dan rubela di masa hadapan, menurut sebuah laporan dikeluarkan pada Isnin oleh Kementerian Kesihatan Laos.

Kanak-kanak di seluruh wilayah mempunyai akses kepada vaksin untuk meningkatkan lagi keimunan terhadap campak dan rubela di bawah dasar kerajaan. Vaksin ini boleh diperoleh secara percuma di kesemua pusat kesihatan awam.

Pihak berkuasa melancarkan kempen kesedaran di peringkat nasional dan wilayah menerusi televisyen, radio dan liputan akhbar untuk menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pusat pemvaksinan.

Kementerian Kesihatan Laos melancarkan kempen pemvaksinan campak dan rubela di seluruh negara pada 20 Mei lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 5:26 PM