Penolong Ketua Jurulatih KDN FC Rezal Zamberi Yahya kecewa dengan kekalahan 0-3 skuadnya kepada Kedah semalam. STR/ IZZALI ISMAIL.
Penolong Ketua Jurulatih KDN FC Rezal Zamberi Yahya kecewa dengan kekalahan 0-3 skuadnya kepada Kedah semalam. STR/ IZZALI ISMAIL.
Izzali Ismail


Alor Setar: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menganggap penurunan prestasi dikalangan pemainnya menjadi antara penyebab skuadnya tewas 0-3 kepada Sang Kenari pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Menurut Penolong Ketua Jurulatih KDN FC, Rezal Zambery Yahya, ini mungkin terjadi disebabkan tempoh rehat selepas aksi liga kembali disambung memberi kesan terhadap tahap kecergasan berbanding Kedah yang memilki perlawanan pada saingan Piala FA minggu lalu.

"Dari satu pemainan ke satu permainan, seperti ketika menentang PDRM tempohari kami dapat tunjukkan kesungguhan, tetapi pada malam ini (semalam) kita lihat ada penurunan prestasi daripada semua pemain.

"Mungkin momentum perlawanan kami tidak seperti Kedah yang baru beraksi minggu lalu. Ini melibatkan masa rehat dua minggu yang kami terpaksa lalui tanpa perlawanan sebelum ini memberi kesan dan merencatkan perancangan kami.

"Disamping itu juga keupayan pemain Kedah lebih kepada pengalaman, dan berupaya berbanding pemain kami. Tetapi dalam bola sepak pada saya apabila bermain masih 50/50 dan pada malam ini (semalam) apabila tewas, kami harus menyalahkan diri kami sendiri," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Dalam pada itu Rezal juga memberi isyarat jelas bahawa skuadnya yang kini berada di tangga ke-12 dalam carta liga memerlukan pertukaran pemain dalam tempoh jendela perpindahan kedua selepas ini untuk bangkit mengatasi setiap kelemahan pasukan dalam mengharungi saingan Liga Super yang cukup mencabar hingga ke hujung musim ini.

"Kalau terus begini sudah pasti menjadi satu kerisauan kepada kami dengan lima perlawanan kami menang sekali dan tewas empat kali dan sudah pasti untuk kami mengharungi aksi sepanjang liga ini kami tidak boleh kekalkan prestasi sebegini.

"Kami juga sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk mendapatkan pertukaran pemain baharu untuk dibawa ke dalam pasukan pada jendela perpidahan kedua nanti melibatkan juga pemain-pemain import dan ini satu perkara yang perlu kami buat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:55 PM