RAMLI Yoosuf. FOTO Aziah Azmee
RAMLI Yoosuf. FOTO Aziah Azmee
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat 9 Julai lalu, adalah usaha memperkasakan siasatan dan penguatkuasaan terhadap kes-kes penipuan khususnya penipuan dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf berkata, melalui pindaan berkenaan, individu yang menjadi dalang dalam kes penipuan dalam talian termasuklah pemilik keldai akaun bakal berdepan hukuman yang lebih berat melalui tindakan di bawah peruntukan baharu.

"Perkembangan ini amat dialu-alukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan buat masa ini tiada sebarang peruntukan khusus bagi menghukum pesalah membabitkan akaun keldai ini.

"PDRM yakin, pindaan ini kelak bakal memberikan landskap baharu dalam penguatkuasaan undang-undang jenayah komersil," katanya tadi.

Beliau berkata, antara pindaan peruntukan yang dibentangkan ialah Seksyen 424A Kanun Keseksaan iaitu bertujuan mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi pemilikan atau kawalan terhadap instrument pembayaran orang lain atau akaun bank orang lain.

"Seksyen 424B Kanun Keseksaan iaitu bertujuan untuk mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi pemberian pemilikan atau kawalan terhadap instrument pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

"Peruntukan lain yang dipinda ialah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan iaitu bertujuan untuk mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi seseorang yang terbabit dalam mana-mana transaksi menggunakan instrumen pembayarannya atau akaunnya di institusi kewangan," katanya.

Menurutnya, tiga lagi peruntukan yang dipinda ialah Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan bertujuan untuk mengadakan peruntukan dan penalti bagi seseorang yang terbabit dalam mana-mana transaksi menggunakan mana-mana instrument pembayaran orang lain atau mana-mana akaun orang lain di institusi kewangan.

"Seksyen 424D Kanun Keseksaan adalah mengadakan peruntukan bagi takrif 'institusi kewangan' dan 'instrument pembayaran' dalam konteks seksyen baharu 424A, 424B dan 424C.

"Yang terakhir ialah Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah bertujuan untuk memberikan kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang dari Sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:37 PM