Novak Djokovic. FOTO Agensi
Novak Djokovic. FOTO Agensi
Reuters

London: Final Wimbledon 2024 bakal menyaksikan aksi final idaman babitkan dua pemain terbaik masa kini, Carlos Alcaraz yang akan menentang pemain berpengalaman, Novak Djokovic.

Malah, pertembungan kedua-dua pemain itu mengulangi aksi final tahun lalu selepas masing-masing melepasi peringkat separuh akhir.

Alcaraz yang juga juara bertahan menumbangkan pemain Russia, Daniil Medvedev 6-7(1) 6-3 6-4 6-4 sebelum juara tujuh kali, Djokovic memadam cabaran pemain Itali, Lorenzo Musetti 6-4 7-6(2) 6-4.

Final kali ini sudah pasti menghidangkan aksi yang sengit dan dijangka menyamai final tahun lalu yang menyaksikan gelaran dimenangi Alcaraz dalam pertembungan lima set.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Djokovic enggan pisang berbuah dua kali apabila meluahkan keyakinan untuk menjuarai saingan itu.

"Saya sangat berpuas hati tetapi saya tidak mahu berhenti setakat di sini - saya harap dapat memenangi trofi pada final nanti.

"Alcaraz pemain berusia 21 tahun yang hebat pernah disaksikan dalam tennis. Dia akan memenangi banyak gelaran Grand Slam tetapi harapnya bukan kali ini," kata Djokovic.

Ini adalah final ulangan buat kali pertama di Wimbledon sejak Djokovic bertemu Roger Federer pada tahun 2014 dan 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:12 PM