SEPANDUK tertulis ‘Terima Kasih Malaysia’ diletakkan di hadapan kem di kawasan AlMawasi, Khan Younis, selatan Gaza.
SEPANDUK tertulis ‘Terima Kasih Malaysia’ diletakkan di hadapan kem di kawasan AlMawasi, Khan Younis, selatan Gaza.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Terima kasih rakyat Malaysia. Simpati anda membolehkan kami memiliki harapan dan semangat untuk menempuh detik sukar ini," kata penduduk Tebing Gaza, Fatima Salma, 40, yang kini menghuni kem pelarian di kawasan AlMawasi, Khan Younis, selatan Gaza.

Kem pelarian yang menempatkan lebih 1,000 pelarian Palestin itu didirikan hasil sumbangan derma penduduk Malaysia menerusi pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM).

Difahamkan kem pelarian itu mula didirikan kumpulan sukarelawan diketuai Pengerusi MCM di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar sejak awal bulan lalu.

Fatima berkata, walaupun kemudahan disediakan agak terhad, namun dia diberikan khemah khas untuk berlindung dilengkapi tilam, selimut serta ruangan khas untuk menyediakan makanan.

"Terima kasih rakyat Malaysia, terima kasih Muslim Care. Bantuan ini besar maknanya pada saya dan pelarian lain yang kehilangan ahli keluarga serta rumah masing-masing," katanya.

Sementara itu, Abu Ayesh berkata, kem pelarian Palestin itu didirikan hasil usaha dan sumbangan berterusan disalurkan MCM membabitkan kos lebih RM350,000 termasuk pembelian panel solar.

Menurutnya, kem pelarian itu menyediakan khemah yang selesa, tandas awam, bekalan air serta makanan kepada penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

"Rata-rata mereka ini adalah mangsa kekejaman tentera Israel yang mengebom rumah mereka. Ramai antaranya turut kehilangan ahli keluarga yang terbunuh dalam serangan roket atau bom dijatuhkan tentera Israel.

"Seramai 1,000 mangsa menghuni dan berlindung di kem pelarian MCM ini. Saya dan sukarelawan lain berusaha memenuhi keperluan penghuni kem ini termasuk menyediakan bekalan elektrik pada waktu malam," katanya.

KEM pelarian Palestin pertama hasil sumbangan rakyat Malaysia di kawasan AlMawasi, Khan Younis, selatan Gaza.
KEM pelarian Palestin pertama hasil sumbangan rakyat Malaysia di kawasan AlMawasi, Khan Younis, selatan Gaza.

Menurutnya, pihaknya berusaha memasang puluhan panel solar bagi menjana tenaga elektrik di kem pelarian itu,

"Ini adalah kem pertama dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia khusus untuk pelarian Palestin di Gaza.

"Saya amat terharu dengan keprihatinan saudara kami di Malaysia. Tanpa bantuan rakyat Malaysia, usaha dan bantuan ini sukar untuk direalisasikan. Saya amat berharap perang genosid oleh Israel terhadap rakyat Palestin ini akan segera berakhir," katanya.

Menurutnya, pelarian Palestin di Gaza amat mengharapkan bantuan berterusan membabitkan bekalan air minuman, makanan serta keperluan asas untuk menghadapi saat sukar ini.

Sementara itu, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, sebanyak RM350,000 sumbangan awal disalurkan bagi menyediakan khemah, tandas awam dan kemudahan solar di kem pelarian itu.

"Kem ini berjaya dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia yang budiman. Ramai dermawan yang pemurah terus menerus menderma bagi membantu rakyat Palestin," katanya.

MCM sebelum ini berjaya menyalurkan kira-kira RM5 juta bantuan kemanusiaan yang memanfaatkan 50,000 penduduk Gaza sebulan dengan kebanyakan mereka menjadi penerima tetap setiap bulan.

Biarpun dihimpit pelbagai kekangan, sekatan dan serangan bertubi-tubi rejim Zionis, penyaluran bantuan di Gaza, Palestin masih terus dijalankan pasukan MCM tanpa henti.

"Jutaan terima kasih diucapkan kerana mempercayai Muslim Care Malaysia bagi menyampaikan amanah ini," kata Zulkifli.

Sumbangan dan derma masih boleh disalurkan melalui https://muslimcaremalaysiasociety.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:10 AM