WANITA dan kanak-kanak di Palestin terus jadi mangsa kekejaman  tentera Zionis.
WANITA dan kanak-kanak di Palestin terus jadi mangsa kekejaman tentera Zionis.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Matlamat genosid Israel bagi menghapuskan seramai mungkin penduduk Palestin di Semenanjung Gaza cuba dicapai dengan menyasarkan 50,000 wanita hamil.

Tidak hanya dibunuh menggunakan bom dan roket, malah tindakan tentera Israel memusnahkan sektor kesihatan di Gaza sekali gus menyebabkan ibu mengandung berdepan komplikasi dan risiko besar kematian ketika melahirkan bayi.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, kira-kira 180 wanita bersalin setiap hari di Semenanjung Gaza dan sebilangan besar mereka melahirkan bayi pramatang kesan serangan berterusan tentera Israel.

Menurutnya, hampir semua perkhidmatan perubatan dan hospital di Gaza lumpuh sekali gus menyukarkan bayi pramatang dilahirkan untuk diselamatkan.

"Wanita Gaza tidak mendapat penjagaan sempurna dan mencukupi sepanjang tempoh 90 hari serangan menggila Zionis.

"Bekalan oksigen yang kehabisan selain kegagalan kemudahan inkubator berfungsi di hospital menyebabkan nyawa bayi pramatang ini gagal diselamatkan. Peluang untuk hidup amat tipis," katanya.

Menurutnya, tindakan tentera Israel memusnahkan Hospital Kanak-kanak Rantisi, Hospital bersalin al-Emirati dan puluhan hospital lain membuktikan niat jahat pemimpin Israel.

"Aspek penjagaan kesihatan ibu dan bayi di Gaza bermula daripada tempoh kehamilan, kelahiran sehingga tempoh selepas bersalin kini amat menyedihkan.

"Wanita Gaza mengharungi situasi amat sukar akibat pengeboman berterusan. Ketika dalam keadaan sarat mengandung, mereka terpaksa melarikan diri dan berjalan kaki jauh untuk berpindah dari utara Gaza ke kem-kem pelarian di selatan.

"Keadaan ini diburukkan lagi dengan isu kekurangan bekalan air bersih, makanan dan rawatan susulan mengakibatkan ramai bayi baru dilahirkan mati," katanya.

Menurutnya, amat menyedihkan apabila ada wanita Gaza yang bersalin melalui pembedahan tanpa dibius akibat terputus bekalan bahan perubatan.

"Ini termasuk isteri graduan Universiti Malaya (UM) Dr. Raed Qaddoura yang melahirkan anak kembar perempuan melalui pembedahan tanpa bius.

"Derita wanita terbabit tidak terhenti di situ apabila kediamannya dibom Israel beberapa hari kemudian (20 November lalu). Serangan itu membunuh suami, anak dan kembar yang baru dilahirkan," katanya.

Zulkifli berkata, ketakutan emosi dan kebimbangan melampau terhadap nasib bayi bakal dilahirkan dialami rata-rata wanita hamil di Gaza.

"Tanpa sebarang peralatan atau kemudahan perubatan yang sesuai, sukar untuk doktor dan petugas perubatan di Gaza memberikan rawatan terbaik atau melakukan pembedahan bagi wanita bermasalah," katanya.

Beliau berkata, MCM melalui pasukannya yang masih terselamat di Gaza meneruskan usaha menyalurkan bantuan makanan harian yang dimasak untuk lebih 2,000 mangsa.

Menurutnya, Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar mengetuai pasukan terbabit dan berusaha memastikan bekalan makanan dan bantuan dapat disalurkan.

"MCM akan terus berusaha memastikan penduduk Gaza menerima bantuan perubatan, makanan dan keperluan asas. Moga serangan Israel ini tamat supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 7:10 AM