Mohamad Sabu.
Mohamad Sabu.
BERNAMA

Kota Kinabalu: Lebih RM33.59 juta disalurkan kepada Sabah dalam usaha membangun dan optimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil produk agromakanan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata peruntukan disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu adalah sebahagian daripada RM150 juta diperuntuk kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2024 bagi pelaksanaan projek pembangunan bersama kerajaan negeri.

Beliau berkata tujuh projek pembangunan agromakanan dibangunkan di Sabah melalui peruntukan itu, yang juga peruntukan tertinggi disalurkan berbanding negeri lain di negara ini.

"Projek itu antara lain termasuk pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan, pembangunan 23 pusat pengumpulan hasil tani, dan pemulihan sawah-sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar. Selain itu ia juga membabitkan pembinaan kilang kopi dan pembangunan tanaman kontan keladi Cina.

"Peruntukan di bawah program ini disalurkan secara berperingkat kepada negeri Sabah pada 4 April dan 14 Mei lalu bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata semua projek itu akan dilaksana dan diselia Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) melalui Jabatan Pertanian Negeri Sabah (DOA Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah (DVS Sabah).

Beliau berkata peruntukan itu juga memberi manfaat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah seterusnya meningkatkan pendapatan taraf sosioekonomi negeri ini selaras dengan usaha meningkatkan nilai kadar sara diri (SSR) dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0.

Sementara itu menurut kenyataan berkenaan Mohamad mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasminya di Seri Gaya di sini malam tadi.

"Dalam pertemuan itu perbincangan menjurus kerjasama KPKM dengan kerajaan negeri bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ke arah keterjaminan makanan negara serta kerjasama dalam melaksanakan projek pembangunan.

"Ia juga meliputi pemerkasaan sektor ternakan, tanaman dan aktiviti pengeluaran serta pemasaran produk hiliran di Sabah," menurut kenyataan itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup.

Mohamad kini berada di Sabah untuk lawatan empat hari bermula semalam dan lawatan itu turut membabitkan Konvoi Jelajah Road to MAHA@Sabah 2024 di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang, Telupid dan Sandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 1:33 PM