Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerosakan infrastruktur di seluruh Terengganu akibat dilanda banjir besar Disember tahun lalu membabitkan kerugian bernilai lebih RM20 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia membabitkan kerosakan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan.

Menurutnya, kebanyakan kerosakan direkodkan berlaku di daerah Besut yang menjadi antara daerah yang paling teruk terjejas akibat bencana berkenaan.

"Kerosakan infrastruktur membabitkan kerugian lebih RM20 juta dan ia dalam proses untuk diuruskan pihak kerajaan negeri berdasarkan peruntukan yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Terdahulu, banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember tahun lalu menyaksikan lebih 40,000 mangsa membabitkan kelapan-lapan daerah itu terjejas.

Kejadian itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk di Kampung La di sini terjejas dengan ada di antara mereka hilang tempat tinggal selepas kediaman dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 8:33 PM
AHMAD Samsuri ketika sidang media pada Majlis Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI
AHMAD Samsuri ketika sidang media pada Majlis Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI