Dr MURALITHARAN, gambar fail. FOTO NSTP
Dr MURALITHARAN, gambar fail. FOTO NSTP
Oleh Samadi Ahmad


Cyberjaya: Waspada terhadap penjualan kanta lekap 'cap ayam' dijual pada harga murah yang boleh merosakkan kornea mata.

Perkara itu didedahkan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) susulan tindakan pihaknya merampas 143,284 unit kanta lekap dianggarkan bernilai RM700,000.

Rampasan membabitkan serbuan di sebuah premis di pusat beli-belah borong fesyen di Jalan Gelugor, Pudu di ibu negara, Isnin lalu.

Serbuan dilakukan 19 pegawai penguat kuasa MDA hasil aduan awam itu mendapati berlaku penjualan dan pengedaran kanta lekap tidak berdaftar oleh syarikat tanpa lesen yang sah.

Ketua Eksekutif Pihak MDA Dr P Muralitharan berkata, lesen perniagaan syarikat berkenaan sudah dibatalkan serta-merta dalam serbuan pertama terhadap premis berkenaan pada November tahun lalu.

Menurutnya, operasi ketika itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Hasil maklumat diterima, penjualan masih berlaku dan produk itu dipercayai dibawa dari Korea Selatan secara haram ke negara ini dan tidak berdaftar dengan MDA.

"Syarikat milik warga tempatan itu beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menjual produk kanta lekap serta cecair pencuci kanta lekap pelbagai jenama termasuk yang berdaftar dengan MDA dan produk tidak berdaftar," katanya pada sidang media di pejabat MDA di sini, hari ini.

Dr Muralitharan berkata, syarikat terbabit didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) antaranya tidak mendaftar peranti perubatan dan tiada Lesen Establismen.

Bagaimanapun, beliau berkata belum ada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih dijalankan selain dalam proses menjejaki ejen yang menjual produk berkenaan secara dalam talian.

"Produk ini tidak mempunyai sebarang label ketika dibawa masuk dan mereka melekat sendiri pelekat label berjenama serta menjualnya antara RM9 hingga RM10 kepada orang ramai, jauh lebih murah daripada harga pasaran," katanya.

Pada masa sama, Dr Muralitharan tidak menolak kemungkinan pembeli kanta lekap dari premis berkenaan menghadapi masalah mata seperti mata menjadi merah, berair atau gatal dan lebih serius lagi kondisi kornea mata koyak.

Justeru, justeru beliau meminta agar mereka tampil mendapat rawatan sepatutnya dan membantu siasatan pihak MDA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:24 PM