DUA kenderaan pacuan empat roda yang disyaki dicuri berjaya dirampas daripada ‘geng curi Hilux’. FOTO Ihsan Polis
DUA kenderaan pacuan empat roda yang disyaki dicuri berjaya dirampas daripada ‘geng curi Hilux’. FOTO Ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis menumpas 'geng curi Hilux' dengan penahanan tiga lelaki serta seorang wanita di Lembah Klang, Selasa lalu, dan berjaya merampas dua kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kumpulan berkenaan menggunakan alatan khas untuk menghidupkan kenderaan dicuri selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban melancarkan Ops Lejang Khas Hilux di kawasan Cheras dan Sungai Buloh, Selangor, 21 Mei lalu.

"Kami menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 30 hingga 43 tahun yang disyaki terbabit dalam kes kecurian 4WD Toyota Hilux di Negeri Sembilan," katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu adalah mensasarkan 4WD Toyota Hilux yang diletakkan di kawasan taman perumahan dan menggunakan alatan khas untuk menghidupkan kenderaan itu.

"Pasukan serbuan berjaya merampas dua 4WD jenis Toyota Harrier dan Toyota Hilux yang disyaki dicuri.

"Barang lain yang turut dirampas adalah set peralatan elektronik yang digunakan untuk hidupkan kenderaan, pelbagai huruf serta nombor bagi tujuan pemalsuan nombor pendaftaran dan set peralatan tangan yang diubahsuai," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, hasil tangkapan berjaya menyelesaikan lima kes kecurian kenderaan membabitkan dua di Negeri Sembilan, dua di Selangor dan satu di ibu negara membabitkan kerugian kira-kira RM750,000.

"Tangkapan direman selama empat hari sehingga 25 Mei. Semakan juga mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan 54 kes curi kenderaan, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan saki-baki suspek yang masih bebas," katanya.

SEREMBAN 24 MEI 2024. DUA kenderaan pacuan empat roda yang disyaki dicuri berjaya dirampas daripada geng curi Hilux dalam dua serbuan di Cheras dan Sungai Buloh, Selangor, Selasa lalu. FOTO IHSAN POLIS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 11:40 PM