Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Kerajaan negeri sedang menunggu laporan jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir yang melanda Terengganu bermula 25 Februari lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia merangkumi kerosakan harta benda penduduk dan harta awam yang terjejas dalam bencana berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada agensi-agensi kerajaan yang ketika ini sedang mengumpul data dan membuat penilaian.

"Kita masih menunggu kerana ia membabitkan pelbagai perkara, bukan sekadar mangsa-mangsa, tetapi infrastruktur dan sebagainya yang mengambil masa bagi agensi kerajaan untuk membuat penilaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) di Kijal, di sini, semalam.

Mengulas mengenai peruntukan khas bagi membantu mangsa banjir, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya boleh menggunakan dana Tabung Darul Iman untuk membantu mangsa banjir.

"Kita ada Tabung Darul Iman untuk mangsa banjir yang boleh dikeluarkan dengan kadar segera tetapi memandangkan sudah ada komitmen (untuk bantu mangsa banjir) daripada kerajaan pusat, jadi kita uruskan bantuan itu dahulu.

"Tetapi jika berlaku kecemasan atau keperluan segera, kita ada opsyen untuk menggunakan Tabung Darul Iman di bawah kerajaan negeri," katanya.

Dalam banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu bermula 25 Februari lalu, lebih 20,000 mangsa terkesan manakala semua lapan daerah terjejas dengan Hulu Terengganu menjadi daerah terakhir pulih daripada banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 1:23 PM