SKUAD hoki dalam dewan negara mara ke final Piala Asia. FOTO AHF
SKUAD hoki dalam dewan negara mara ke final Piala Asia. FOTO AHF
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara, mencipta sejarah apabila layak ke Piala Dunia buat kali pertama apabila mara ke final Piala Asia selepas muncul dua pasukan teratas klasifikasi pertama hingga keempat.

Malaysia yang juga juara bertahan akan berentap dengan Iran di final esok selepas kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 3-3 pada aksi terakhir klasifikasi berkenaan.

Iran yang juga juara 10 kali Piala Asia mengungguli klasifikasi berkenaan selepas mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan sekali seri, manakala Malaysia kurang dua mata apabila meraih satu kemenangan dan dua kali seri.

Apa sahaja keputusan final esok di Taldykorgan, Kazakhstan tidak memberi sebarang makna selepas kedua-duanya bakal beraksi di Piala Dunia edisi ketujuh di Porec, Croatia, tahun depan dan hanya perebutan untuk merangkul trofi Piala Asia.

Sementara itu, tuan rumah akan menentang Thailand bagi penentuan tempat ketiga/keempat.

Setakat ini selain Croatia selaku tuan rumah, enam pasukan dari benua Eropah dan Pan Amerika sudah melayakkan diri ke Piala Dunia yang dianjurkan empat tahun sekali bermula dari 2003.

Keenam-enam pasukan berkenaan ialah Austria, Jerman, Poland dan Belgium (Eropah), manakala dua pasukan lagi ialah Argentina dan Trindad and Tobago.

Walaupun muncul juara pada 2022, skuad negara tidak layak beraksi di Piala Dunia tahun lalu kerana slot itu diberikan kepada Iran selaku juara Piala Asia 2019 selepas Piala Dunia 2022 dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Dalam aksi terakhir sebentar tadi Malaysia dikejutkan dengan dua jaringan lawan melalui Shahrokhi Mahdi pada minit ke-10 dan Amirmahdi Mirzakhani minit ke-16.

Skuad bimbingan Rodzhanizam Mat Radzi itu merapatkan kedudukan melalui jaringan padang Hamirin Khaliq pada minit ke-21, sebelum Shahrokhi menyempurnakan pukulan sudut penalti enam kemudian.

Bagaimanapun, Hamirin sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-30 dan Zain Aminuddin muncul wira hasil jaringan penyamaan di minit ke-28 melalui pukulan sudut penalti.

Tiga lagi slot Piala Dunia bakal ditentukan melalui Piala Afrika (2) dan Piala Oceania (1).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 11:57 PM