KHUZAIMI (dua kiri) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan   di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor Seksyen 5 hari ini. FOTO Bernama
KHUZAIMI (dua kiri) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor Seksyen 5 hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Shah Alam: Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil menyifatkan anak buahnya Ahmad Khuzaimi Piee cukup profesional dengan kekal fokus menjalani latihan walaupun rumahnya dipecah masuk kelmarin.

Pengendali berusia 44 tahun itu percaya Khuzaimi dapat menangani situasi berkenaan walaupun turut memikirkan mengenai keselamatan keluarganya.

"Semalam Khuzaimi masih turun ke latihan seperti biasa, kita ada berbual dengannya. Sudah pasti keutamaan kita adalah keluarga dan perasaan dia terhadap situasi yang menimpanya.

"Namun, saya rasa semuanya sudah diselesaikan di peringkat (siasatan) polis dan letakkan keluarganya dalam keadaan selamat. Khuzaimi seorang yang profesional, mampu berfikir secara baik dan saya tidak nampak perkara yang berlaku ini mengganggunya dalam padang.

"Jika dia kata dia tidak ada masalah (untuk bermain) saya pasti akan letakkan namanya dalam senarai pemain. Saya yakin terhadapnya dan dia juga yakin dengan dirinya. Jadi benda itu bukanlah isu buat kami," katanya.

Nidzam berkata demikian pada sidang media di pusat latihan pasukan itu di sini, hari ini, menjelang aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan, Ahad ini.

Sebelum ini, rumah Khuzaimi dipecah masuk ketika dia keluar menjalani latihan bersama Gergasi Merah yang menyaksikan bekas pemain Negeri Sembilan itu kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:05 PM