M Hifzuddin Ikhsan


Yan: Kerja pembaikan 200 rumah terjejas teruk akibat tragedi kepala air dan banjir lumpur dari Gunung Jerai pada pertengahan bulan lalu, giat dilakukan pelbagai agensi kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail berkata, pihaknya bekerjasama bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KPLB) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi membantu penduduk terbabit.

Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat lebih 1,000 rumah penduduk mengalami pelbagai jenis kerosakan dan kerja pembaikan dilakukan secara berperingkat mengikut kategori kerosakan dialami mereka.

"Kami mendapat sedikit keistimewaan apabila proses baik pulih dapat dilakukan segera pasukan GiatMara dan kontraktor dilantik dan dijangkakan semua kerja terbabit boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan.

"Kerosakan dialami penduduk kebanyakannya membabitkan bahagian pintu hadapan dan belakang selain dinding rumah yang terkena hentaman kepala air manakala struktur lain masih dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ku Rahman berkata, bagi infrastruktur mengalami kerosakan teruk termasuk terdapat titi roboh, ia dijangka mengambil sedikit masa kerana membabitkan beberapa peringkat proses berlainan.

Beliau berkata, secara keseluruhan keadaan di Yan semakin beransur pulih, kebanyakan rumah mangsa sudah dibersihkan selain kemudahan awam dipulihkan Majlis Daerah Yan (MDY).

"Kegiatan perniagaan di pekan Yan hampir pulih apabila kebanyakan kedai kembali beroperasi seperti biasa, cuma kegiatan pelancongan di Titi Hayun dan Batu Hampar masih belum dapat dimulakan semula.

"Diharapkan Kementerian Pelancongan dapat membantu menyelesaikan masalah itu berikutan pelancongan di kawasan terbabit adalah antara tarikan utama ke daerah ini," katanya.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, tragedi kepala air dan banjir lumpur melanda Yan, Gurun dan Merbok menyebabkan banyak kerosakan selain menjejaskan kawasan perkampungan terutama di Kampung Setol, Kampung Acheh dan Kampung Permatang Keramat.

Peniaga, Hock Lean Seng, 67, berkata kebimbangan tragedi kepala air itu berulang masih ada, namun berharap ia tidak akan menyebabkan banjir lumpur teruk seperti kejadian baru-baru ini.

"Saya baharu seminggu membuka semula kedai runcit dan masih meneruskan kerja pembersihan di dalam kedai termasuk menggantikan rak rosak akibat terkena air lumpur.

"Pelanggan tidak ramai dan saya bergantung kepada penduduk tempatan membeli barang berbanding sebelum ini apabila ramai orang luar datang berkhemah di Gunung Jerai turut berbelanja di sini," katanya.

Sementara itu, nasib penduduk turut mendapat perhatian pengusaha Stesen Petrol Petron Wilayah Utara yang menyumbang bantuan tong gas, dapur, makanan kering dan pakaian bernilai keseluruhan RM21,000.

Sumbangan disampaikan wakil pengusaha, Haruni Md Hassan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Yan bagi diagih kepada penduduk memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 5:03 PM