DIN Search
DIN Search
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemain gitar Search, Noordin Mohd Taib atau Din mempersoalkan tindakan Datuk Amy Search menuntut royalti penghasilan album kompilasi Rockology Search : Kid'Din Collection Series yang didakwanya dibuat tanpa kebenaran anggota Search yang lain.

Din ketika dihubungi berkata, album yang dipasarkan bersama 17 cendera hati Search pada 17 November 2021 itu adalah kompilasi lagu dan bukannya rakaman semula atau lagu baru.

"Lagu itu milik Datuk M. Nasir dan dia pun dah bagi kenyataan dulu dalam akhbar. Beliau kata, apa yang saya buat ini betul.

"Amy sebenarnya maksudkan royalti apa? Kalau royalti MACP (Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad), dia akan dapat juga. Itu lagu lama, lagu-lagu yang dah berdaftar. Stesen radio mainkan dan dinyanyikan di karaoke, MACP akan kumpul royalti.

Din berkata, Amy yang sudah lebih 40 tahun bergelar penyanyi, mustahil tidak tahu mengenai perkara ini.

"Royalti mekanikal pula lebih kepada komposer. Nak diikutkan 100 peratus itu memang hak komposer.

Kalau artis itu buat lagu sendiri, itu lain. Dia akan dapat royalti mekanikal. Itu bezanya dan takkan Amy tak faham?

"Apa yang sebenarnya nak diutarakannya? Dia sendiri boleh pergi Luncai Emas tanya dengan M Nasir. Rockology Search: Kid'Din Collection Series hanya diterbitkan 500 keping dan lebih kepada koleksi peminat. Tiada ulang cetak," katanya.

Din berkata, itu adalah projeknya sendiri tanpa membabitkan anggota Search yang lain.

"Kalau tengok memang gambar saya dan Kid berdua saja. Tajuknya pun Kid'Din Collection Series. Cuma saya letak logo Search, apa masalahnya?

"Kita kena saling memahamilah. Dah kenal bertahun-tahun. Kawan-kawan, benda begini kena toleransi. Dia serius sangat sampaikan gambar pun saya tak boleh pakai.

"Apa benda ini? Kita kawan dah bertahun-tahun. Kalau setakat kau nak pinjam baju aku, pakailah. Nak ambil terus pun tak apa," katanya.

Din mendakwa Amy sukakan perkara begini dengan mencampuri perkara yang dia tidak pasti.

"Contohnya macam cerita mengenai dakwaan Denden, baru-baru ini. Itu pun dia nak campur juga. Padahal semua itu tak betul. Saya lebih tahu sebab Denden yang bersama saya, bukannya Amy," katanya.

Din meminta Amy menurunkan egonya yang tinggi selama ini dan menasihatkannya jangan lagi mempunyai mentaliti sebegini.

"Saya penat tengok mereka. Dah tua tapi tak habis-habis perangai macam itu. Dia buat band macam haknya dan saya ini macam makan gaji.

"Semua dia saja yang nak buat. Kalau isu royalti, dia kata tiada dokumen tapi ia sebenarnya ada. Sebenarnya dulu dia janji nak jumpa bincang album Rockology Search: Kid'Din Collection Series tapi dia yang tak datang.

Din berkata, mereka sebenarnya tidak senang hati apabila melihat dia bergerak aktif.

"Amy dakwa ada orang beritahu duit royalti dah bayar pada saya. Dia boleh tunjukkan bukti tak? Bila sesuatu royalti keluar pasti ada penyata dan rekod.

"Dia kenalah tanya orang yang bercakap itu minta bukti. Ada atau tidak? Waktu buat video tunjuklah bukti itu. Untuk album Rockology Search: Kid'Din Collection Series, saya tunjuk dokumen cuma Amy tak respon.

"Saya buat dengan Kid tiada gambar mereka pun. Cuma, ada lagu Search dan mereka memang akan dapat royalti dari MACP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 9:43 PM