PEMAIN TFC meraikan jaringan ketika menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.  FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC meraikan jaringan ketika menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) menghuni tangga teratas Liga Super selepas menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dalam aksi derbi sebentar tadi.

Tuan rumah bermula garang dengan percubaan pertama menerusi Manuel Ott pada minit ke-12 yang sedikit melepasi palang gol.

Tiga minit berselang, giliran bekas penyerang KDN FC musim lalu, Ismaheel Akinade mencuba untuk membuka tirai jaringan, namun tandukannya hasil hantaran Ubaidullah Shamsul Fazili hanya sedikit melepasi tiang gol.

Begitu juga rembatannya dalam kotak pada minit ke-25 melepasi palang gol sekali gus terselamat pintu gol pelawat yang dikawal Khatul Anuar MD Jalil.

Bagaimanapun usaha berterusan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner akhirnya membuahkan hasil apabila pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-36 yang disudahkan Akinade.

Penalti itu diberikan selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR) selepas Safawi Rasid dijatuhkan pertahanan skuad Kijang Emas itu, Muhammad Afzal Akbar.

Berbekal sokongan padu lebih 13,000 peminat setia, skuad Penyu berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-45 menerusi pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov yang sebelum itu mendapat umpanan daripada Ott hasil hantaran silang Akinade untuk pasukannya mendahului 2-0.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendapat jaringan ketiga selepas Ott melakukan sepakan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-47 berpunca bola sepakan sudut.

Ketinggalan 0-3 tidak mematahkan semangat pemain pelawat yang mendapat peluang terbaik pada minit ke-50 untuk merapatkan jurang gol menerusi rembatan padu Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin, namun palang menjadi penghalang.

Kekalahan itu menyaksikan skuad KDN FC gagal mengutip sebarang mata dengan terperosok di tangga terbawah liga manakala TFC menghuni di puncak liga dengan mengutip tujuh mata hasil tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:38 PM