NORDE cuba dihalang tiga pemain Perak FC. FOTO KDA FC
NORDE cuba dihalang tiga pemain Perak FC. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tewas mengejut 0-2 kepada Perak FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, gawang KDA FC terlebih dahulu diuji menerusi sepakan percuma pemain import Perak Kanybekov Adilet pada minit ke-3 tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz.

Tuan rumah cuba bangkit dengan serangan pantas ke kubu Perak dua minit selepas itu melalui tandukan pemain sayap Sukhrob Nurulloev yang mendapat hantaran dari Sony Norde, namun percubaannya berjaya diselamatkan Ramadhan Ab Hamid.

Perak bagaimanapun berjaya mengejutkan tuan rumah dengan gol pada minit ke-16 apabila pemain importnya dari Korea Selatan Lee Tae Min berjaya 'menceroboh' kubu Kedah melalui hantaran jauh dan seterusnya berjaya menewaskan Kalamullah Al-Hafiz. J

Jaringan itu kemudian turut disahkan melalui semakan semula oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

Tersentak dengan gol pelawat, Kedah cuba bangkit semula dengan memburu gol penyamaan melalui beberapa siri serangan bahaya oleh Sony Norde, Syafiq Ahmad dan Sukhrob Nurulloev, namun percubaan mereka buntu hingga ke hujung babak pertama.

Perak yang terus memburu jaringan akhirnya menambah gol kedua juga menerusi Tae Min pada minit ke-76 bermula dengan gerakan serangan balas dari ruang tengah.

Dua minit sebelum tamat masa kedua, Sony Norde hampir mencetak gol buat Kedah melalui percubaan di depan gawang, namun terkena palang sekali gus mengecewakan penyokong dan kedudukan dua gol tanpa balas itu kekal hingga ke hujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 11:30 PM