Kid Search
Kid Search

Kuala Lumpur: Pemain gitar Search, Kid mengakui dia malu apabila konflik Search mengenai royalti dan perebutan nama menjadi bualan dan tular sejak akhir-akhir ini.

Kid atau nama sebenarnya, Hamzah Md Taib berkata, dia menyokong setiap perkara yang betul.

"Kalau boleh kita bincang baik-baik. Ketika itu masa pergolakan bermula dan siapa yang mengikuti perkembangan saya tentu tahu ketika itu saya menjaga isteri (Allahyarham) yang sakit.

"Saya berulang alik ke hospital sampaikan saya tiada masa mengikuti perkembangan itu. Bila ia berlaku, saya fikir macam mana ini? Kenapa? Saya jadi macam pelik. Walaupun saya dalam keadaan turun naik (hospital) yang agak rumit, saya kenalah berusaha," katanya ketika ditemubual di satu portal hiburan.

Menurutnya, dia tidak suka meminta dan mungkin itu salah satu sebab berlakunya album Rockology Search: Kid'Din Collection Series.

"Saya alu-alukan jika mereka nak selesaikan di platform yang betul. Itu yang sebaik-baiknya. Tiada cara lain yang untuk apa-apa masalah ini. Itulah jalan penyelesaiannya," katanya.

Kid berkata, negara ada undang-undang dan jika ada cara yang betul, ia harus digunakan.

"Ia bukan soal isu siapa betul dan siapa tak betul serta isu siapa menang dan siapa kalah. Kiranya kalau saya di pihak yang kalah pun baguslah.

"Jadi terungkap. Bila dah lalu proses itu, kalau salah pun dinyatakan kenapa alasannya salah, atas sebab-sebab apa yang lebih telus dan lebih teliti," katanya.

Dalam pada itu, Kid turut mengakui dia bingung dengan kemelut perebutan nama Search sehingga hari ini.

"Rasanya saya tak pernah umumkan ada keluar dari Search, tapi ada individu lain yang kata begitu dalam media sosial dan sebabnya. Saya rasa itu dah cukup kuat untuk mengesahkan yang dia dah keluar.

"Jadi, bila dia buat sesuatu gunakan nama yang sama, buatlah cara yang betul. Dari usia saya belasan tahun sehingga sekarang. Dari saya belum kahwin, saya dah kahwin, saya dapat anak, isteri saya meninggal dunia dan itulah pendapatan utama saya dan juga minat saya.

"Saya nak benda ini. Saya dah usahakan 50 tahun takkanlah saya nak lepaskan. Mereka pun kata mereka ada hak, nilaikanlah. Buat benda yang betul. Ikutlah saluran yang betul daripada bercakap di media sosial saya pun dah rasa malu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:03 PM