Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tiada kata mampu diluahkan seorang warga emas selain bersyukur dan gembira selepas terpilih sebagai Tokoh Muallim Institusi Tahfiz.

Abd Salam@Yaakob Mohd, 77, menerima anugerah itu sempena Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022 di sini, semalam.

Abd Salam berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan menerima pengiktirafan seumpama itu memandangkan dia tidak lagi bekerja.

"Ini pengiktirafan tertinggi yang pernah saya terima dan memang gembira sangat apatah lagi anugerah ini disampaikan sendiri Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar).

"Selain itu, saya juga gembira kerana dapat bertemu rakan-rakan seperjuangan dan anak murid yang pernah diajar sebelum ini.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menghargai saya dan memberikan penghormatan ini kepada saya," katanya.

Abd Salam ditemani anaknya, Busyraa pada Majlis Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Abd Salam ditemani anaknya, Busyraa pada Majlis Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Terdahulu, majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Ahmad Samsuri di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini.

Sementara itu, Busyraa Mohamad, 32, berkata, pergerakan ayahnya memang terbatas selepas diserang strok pada 2019 dan terpaksa berkerusi roda.

Katanya, bapanya memang gembira dan teruja selain sebak apabila dimaklumkan akan menjadi penerima untuk anugerah ini.

"Ayah bersara sepenuhnya pada 2017 dan sebelum ini, ayah pernah mengajar di beberapa tempat termasuk Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Kolej Al-Quran Terengganu selepas pulang dari Mesir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 3:51 PM