NORAIZAT cemerlang bantu skuad negara.
NORAIZAT cemerlang bantu skuad negara.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia tidak berdepan masalah melangkah ke suku akhir acara regu berpasukan selepas meraih dua kemenangan dalam peringkat Kumpulan C di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Dalam aksi terakhir menentang Jepun, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun mengekalkan rekod kemenangan bersih ketiga-tiga regu dengan kemenangan 3-0.

Di suku akhir esok, pasukan negara akan bertemu naib juara Kumpulan B, India dan sekiranya layak ke separuh akhir, bakal bertemu pemenang antara Indonesia atau Myanmar.

Sementara Thailand selaku juara Kumpulan B pula bertemu naib johan Kumpulan C Jepun di suku akhir dan berdepan antara pemenang Korea Selatan atau Vietnam di separuh akhir.

Ketua jurulatih pasukan negara, Ahmad Jais Baharun berkata, meskipun regu A bermain agak goyah di set pertama namun beliau bersyukur apabila pemain dapat mengawal kembali permainan untuk mencatat kemenangan dan momentum itu dua regu selepas itu.

Jelasnya, beliau mengingatkan anak buahnya untuk lebih bersedia bagi perlawanan kalah mati esok dan terus kosisten dalam setiap permainan.

"Untuk perlawanan esok, kita tidak boleh ambil mudah cabaran India dan setiap pemain perlu memandang serius perlawanan ini untuk kita mendapatkan kemenangan seterusnya ke peringkat seterusnya.

"Apa yang saya lihat tadi, permainan regu pertama kita agak statik dari segi persembahan dan kita harap mereka memperbaiki pada perlawanan peringkat kalah mati esok.

"Kalau kita lihat barisan pemain yang kita susun adalah regu yang kita padankan di peringkat latihan lagi. Jadi, kita harapkan mereka lebih bersedia perlawanan esok," katanya.

Terdahulu, Regu A dibarisi Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) terpaksa berhempas pulas di set pertama sebelum bangkit mencatatkan kemenangan straight set 15-13, 15-4 untuk mendapatkan mata pertama.

Regu B yang dianggotai Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) meneruskan rentak kemenangan dengan kemenangan mudah apabila servis laju dari Syahir sukar untuk diangkat oleh pemain Jepun untuk menang 15-5, 15-5 .

Malaysia menutup perlawanan dengan kemenangan dari Regu C, Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Muhammad Shahalril Aiman Halim (apit kanan) apabila tidak memberi peluang kepada Jepun apabila mencatatkan kemenangan 15-5, 15-7.

Sebelum itu, Malaysia memulakan kempen dengan momentum kemenangan dalam acara regu berpasukan selepas menewaskan Brunei 3-0 dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan C, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:47 PM