Nuraliawati Sabri


Melaka: Operasi Pejabat Tanah Daerah Melaka Tengah (PTDMT) di Wisma Negeri, Ayer Keroh, di sini, terpaksa dihentikan selama empat hari bermula hari ini, selepas berlakunya 'banjir' akibat sistem semburan air automatik.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam semalam susulan lintar pintas di tingkat satu wisma menyebabkan sistem semburan air automatik berfungsi.

Akibatnya beberapa siling di aras bawah jabatan itu runtuh malah air terpaksa ditadah menggunakan bakul sampah.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, akibat daripada litar pintas, sistem semburan air automatik berfungsi dan menyebabkan berlakunya 'banjir'.

Katanya, susulan itu, aras bawah dan satu PTDMT berlaku limpahan air.

"Kejadian dipercayai akibat litar pintas daripada lampu dan sistem semburan air berfungsi sehingga menyebabkan banjir.

"Katakan kalau semburan air itu tidak berfungsi dengan baik kemungkinan akan menyebabkan kebakaran yang teruk. Kerosakan yang berlaku membabitkan karpet serta siling," katanya ketika ditemui selepas meninjau PTDMT hari ini.

Menurutnya, bilik kebal dan dokumen penting jabatan tidak terjejas dan berada dalam keadaan selamat.

AIR bertakung di PTDMT selain terdapat runtuhan siling. FOTO Nuraliawati Sabri
AIR bertakung di PTDMT selain terdapat runtuhan siling. FOTO Nuraliawati Sabri

"Kerosakan barangan elektrik adalah kecil dan dokumen semua terselamat," katanya.

Menurutnya, jabatan itu menempatkan kira-kira 150 kakitangan akan kembali beroperasi pada Selasa selepas kerja pembersihan selesai dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 8:12 PM