ZII Jia berhempas pulas ketika  menentang Antonsen. FOTO Bernama
ZII Jia berhempas pulas ketika menentang Antonsen. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tidak ada apa yang membimbangkan. Itula rumusan awal mengenai tahap kecergasan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menjadi tanda tanya selepas menumbangkan Anders Antonsen di suku akhir Masters Malaysia hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, sebaik sahaja tamat perlawanan Zii Jia terus ke bangunan institut berkenaan yang bersebelahan Axiata Arena.

"Fisioterapi Zii Jia, Rayvadee Rattanakthada, yang juga bekas fisioterapi ISN membawanya melakukan mandian ais. Dia hanya mengalami keletihan di bahagian otot, tiada kecederaan," kata Faedzal.

Ujarnya, keletihan otot adalah perkara biasa memandangkan Zii Jia melalui perlawanan memenatkan selama 1 jam 23 minit menentang Antonsen.

Selepas perlawanan, pemain ranking ke-10 dunia itu terhincut-hincut dan terus mendapatkan rawatan dengan pasukan perubatan, serta tidak menemui media untuk ditemubual.

Kakaknya yang juga pengurus pasukan, Lee Zii Yii menerangkan keadaan Zii Jia dan memaklumkan maklumat terkini serta gambaran awal kepada media.

Kata Zii Yii yang juga bekas perseorangan wanita negara, keletihan dialami adiknya itu mula berlaku pada set kedua sehingga memaksa mereka meminta bantuan daripada pasukan perubatan.

"Dia memang agak keletihan terutama selepas berdepan aksi sengit sejak semalam (pusingan kedua) ketika berdepan Kiran George dari India," katanya.

Menanti pilihan kelima kejohanan itu di separuh akhir esok ialah Ng Ka Long dari Hong Kong, lawan yang ditumpaskan di final Terbuka Thailand minggu lalu. Ka Long berjaya melakar kejutan selepas mengetepikan pilihan ketiga dari China, Li Shi Feng 21-13, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:21 PM