LOKASI kemalangan empat kenderaan termasuk perisai Gempita milik ATM di Kilometer 36.4 Jalan Seremban-Tampin. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kemalangan empat kenderaan termasuk perisai Gempita milik ATM di Kilometer 36.4 Jalan Seremban-Tampin. FOTO Ihsan Polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Rembau: Tiga kereta dan sebuah kereta perisai Gempita milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit kemalangan di Kilometer 36.4 Jalan Seremban-Tampin pada 10.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, bagaimanapun kemalangan itu tidak membabitkan kehilangan jiwa.

Katanya, selain kereta perisai Gempita milik ATM kemalangan itu membabitkan kereta Proton Saga, Proton Saga FLX dan Perodua Axia.

"Siasatan awal kejadian mendapati pemandu kereta Perodua Axia dipandu wanita 29 tahun hilang kawalan lalu melanggar belakang kereta Proton Saga dipandu wanita berusia 48 yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Jabatan Kerja Raya Melaka.

" Sejurus selepas itu datang sebuah kereta Proton Saga FLX dipandu lelaki berusia 45 tahun melanggar belakang kereta Proton Saga menyebabkan masuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar oleh kereta perisai Gempita," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Berikutan itu Shaik Abd Kadar berkata, pemandu Perodua Axia dan penumpangnya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pemandu dua lagi kereta termasuk pemandu Gempita tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Rule 10 LN166/59," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:15 PM