Mahdzir Khalid (kanan) menyerahkan sumbangan kementeriannya kepada Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan di Kompleks UMNO Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Mahdzir Khalid (kanan) menyerahkan sumbangan kementeriannya kepada Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan di Kompleks UMNO Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyegerakan proses membaik pulih kemudahan infrastruktur kelolaan kementerian itu di negeri terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jalan kampung, jambatan kecil yang menghubungkan antara kampung, surau dan longkang kampung antara kemudahan infrastruktur dibawah kementeriannya.

Katanya, banyak kawasan luar bandar terbabit banjir di Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor mengalami kerosakan jalan kampung.

"Kerosakan kecil, kita boleh buat kerja baik pulih dengan segera namun kerosakan besar seperti jambatan runtuh kita perlu tunggu sehingga kos membaiki atau bina baharu diperoleh daripada Jabatan Kerja Raya ( JKR ).

"Seperti di Jelebu, banyak jalan kampung rosak dan ia turut diberi perhatian untuk dibaiki," katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan KPLB kepada Pejabat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Simpang Pertang, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin menafikan kelewatan kerja pembersihan akibat banjir yang disifatkan terburuk di Jelebu.

Katanya, gotong-royong perdana dianjurkan Pejabat Parlimen Jelebu pada Sabtu dan Ahad lalu berjaya membersihkan 165 rumah.

"Kerja pembersihan itu juga turut dilaksanakan oleh pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ia masih berjalan sehingga hari ini," katanya.

Jalaluddin berkata, kerja pembersihan sudah dijalankan 90 peratus dan dijangka sehingga hujung minggu ini kesemua rumah mangsa dapat dibersihkan.

"Masalah bekalan air dan elektrik terputus pula disebabkan banjir yang berlaku kali ini sangat luar biasa namun bekalan air sudah 100 peratus pulih di Jelebu hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 4:34 PM