MOHD Solihan (kanan) melihat gambar gelonsoran tanah yang berlaku di Jalan Kota Tinggi - Kluang berhampiran Taman Sri Impian, Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
MOHD Solihan (kanan) melihat gambar gelonsoran tanah yang berlaku di Jalan Kota Tinggi - Kluang berhampiran Taman Sri Impian, Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


Kluang: Sejumlah RM48.6 juta diperlukan untuk melakukan baik pulih dan naik taraf jalan berisiko di enam daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri berkata, daerah terbabit ialah Kluang, Kota Tinggi, Johor Bharu, Segamat, Mersing dan Kulai membabitkan 55 jalan Persekutuan dan 23 jalan negeri.

"Antara kerosakan yang dikenal pasti adalah jalan berlopak, tanah runtuh, aras jalan rendah serta longkang dan pembentungan pecah.

"Kerosakan berpunca akibat banjir, hujan lebat dan limpahan air dari kawasan pertanian," katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan gelongsoran tanah di Taman Sri Impian di sini, hari ini.

Hadir sama Jurutera Awam Penguasa Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Zakariah Mahat dan Jurutera JKR Daerah Kluang, Ir Aidi Mohd Salleh.

Menurut Mohd Solihan, permohonan peruntukkan sudah dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya minggu lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja pembaikan gelongsoran tanah di Taman Sri Impian akan dilanjutkan seminggu lagi melakukan pemantauan sekiranya berlaku gelongsoran lagi.

"Untuk itu, penutupan jalan ini diteruskan dan orang ramai dikehendaki mengikut lencongan seperti yang ditetapkan JKR Kluang.

#kw kos, jalan, rosak, baik pulih, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:58 PM