Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh menjelaskan keadaan paip yang patah di dasar Sungai Terengganu pada sidang media di Pejabat SATU. FOTO ZAID SALIM
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh menjelaskan keadaan paip yang patah di dasar Sungai Terengganu pada sidang media di Pejabat SATU. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Gangguan bekalan air yang kembali menghantui lebih 150,000 penduduk di daerah ini dan Kuala Nerus dijangka berlarutan sehingga 12 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, berdasarkan kerosakan yang berlaku, Syarikat Air Terengganu (SATU) menjangkakan proses pembaikan mengambil masa sekurang-kurangnya 20 hari untuk disiapkan.

"Pasukan teknikal membabitkan enam penyelam sudah mengesan kerosakan yang berlaku dan mendapati sambungan paip di jajaran sama patah iaitu kira-kira 24 meter dari paip yang pecah pada awal Julai lalu.

"Kerosakan baharu ini dikesan pada 5 pagi, semalam," katanya pada sidang media di Pejabat SATU, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya belum dapat memastikan sama ada kerosakan yang berlaku itu perlu dibaiki atau menggantikan paip yang baharu dan perkara itu masih dalam perbincangan bagi mencari kaedah yang paling berkesan dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Mamad berkata, siasatan awal mendapati kerosakan itu disebabkan kejadian luar jangka sewaktu kerja-kerja pasca pembaikan paip ke Tangki Utama Berangan di dasar sungai berkenaan.

"Selain mencari kaedah terbaik untuk membaiki kerosakan paip berkenaan, SATU turut memfokuskan bagi mempercepatkan pengaktifan Loji Bukit Berapit di sini yang dapat menyalurkan 60 juta meter padu air sehari pada pertengahan bulan hadapan," katanya.

Justeru, bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih sepanjang tempoh gangguan itu, pihaknya menggerakkan sebanyak 19 buah lori bagi melakukan operasi pengagihan air bersih di kawasan terjejas.

Selain menyediakan tangki statik di kawasan terjejas, SATU turut menyediakan sebanyak 86 pili di lima kawasan iaitu sekitar jambatan angkat, Kampung Petaling, Simpang Bukit Berangan dan Pantai Teluk Ketapang di Kuala Nerus, manakala satu kawasan di daerah ini iaitu di hadapan Masjid Manir.

Gangguan bekalan membabitkan 36 kampung di dua daerah berkenaan iaitu keseluruhan Gong Badak, kawasan perindustrian Gong Badak, Alor Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut terbabit ialah Tepoh, Padang Hangus, Pagar Ubi, Bukit Sudu, Bukit Jong, Sungai Ikan, Gemuruh, Ladang Sentosa, Padang Nenas, Lingai, Bukit Wan, Maras, Bukit Berangan, Batu Rakit, Alur Damak, Pagar Besi, Mengabang Telipot, Mengabang Telong dan Wakaf Tengah dalam daerah Kuala Nerus.

Manakala bagi daerah Kuala Terengganu pula, kawasan yang terbabit ialah Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:24 PM