Razali (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Sulaiman Sulong ketika merasmikan Program Senandung Terengganu dan Pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2024 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Razali (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Sulaiman Sulong ketika merasmikan Program Senandung Terengganu dan Pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2024 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sebanyak 14 lokasi pelancongan berasaskan komuniti (CBT) di Terengganu terjejas akibat banjir pada Disember lalu, yang menyebabkan kerugian hampir RM280,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ia membabitkan empat CBT di Kuala Terengganu, tiga di Setiu, dua di Hulu Terengganu, dua di Marang, dua di Dungun serta satu di Besut.

Beliau berkata, CBT Kampung Budaya Terengganu, Kalang Warisan, Pengkalan Setar dan Banggol Cempedak di Kuala Terengganu; Felda Selasih di Besut; Pengkalan Rengas dan Belukar Bukit di Hulu Terengganu antara yang terjejas akibat bencana itu.

Turut terjejas adalah Dataran Batu Putih dan Merchang Lestari di Marang; Desa Pancaran Delima, Lata Ulu Kasar dan Warung Bangsal Buluh, Kampung Baru Penarik di Setiu dan Bumbung Raja, Kampung Pasir Raja dan Jeti Rajawali, Kampung Pulau Serai di Dungun.

"Setiap CBT ini dianggarkan mengalami kerosakan antara RM10,000 hingga RM40,000.

"Jumlah kerosakan setiap CBT tidak sama, namun kebanyakan daripadanya mengalami kerosakan pada kemudahan infrastruktur seperti tandas, pondok rehat, surau dan gerai selain hakisan tebing dan laluan akibat bencana itu.

"Daripada 14 CBT itu, CBT Felda Selasih di Besut dan CBT di Lata Ulu Kasar di Setiu mengalami kerosakan paling teruk membabitkan kerugian hampir RM40,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Senandung Terengganu dan Pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2024 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu di sini.

Razali berkata, kerajaan negeri akan cuba membantu membaik pulih produk pelancongan yang diusahakan penduduk setempat itu bagi memastikan ia dapat beroperasi seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 9:23 AM