BERNAMA

Tokyo: Lawatan kerja singkat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun yang berakhir pada Jumaat dilihat memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan negara matahari terbit itu.

Lawatan kerja kali ini juga berjaya meraih potensi pelaburan baharu bernilai RM1.45 bilion dan eksport berjumlah RM550 juta daripada tujuh syarikat utama Jepun, kata Anwar kepada wartawan Malaysia pada sidang media bagi mengakhiri siri lawatan ke Jepun, hari ini.

"Kita mengalu-alukan pelaburan syarikat Jepun daripada sektor elektrik dan elektronik, robotik, kimia dan petrokimia, ekonomi digital, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau," kata Anwar.

Lawatan itu, yang bertujuan untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei), juga susulan penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.

Pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya, Fumio Kishida, turut mengukuhkan kerjasama Kuala Lumpur-Tokyo dalam peralihan tenaga, tenaga boleh baharu serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Jepun turut menyumbang sebanyak JPY400 (RM12.03 juta) melalui Bantuan Rasmi Keselamatan (OSA).

"Kita mengalu-alukan lawatan teknikal oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) pada Julai ini yang terdiri daripada pakar industri dan pemain industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE)," kata Anwar.

Dari segi pendidikan, Anwar berkata pendaftaran kumpulan pertama pelajar di Kampus Cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia adalah pada September 2024 manakala Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Teknikal Malaysia (UteM) Melaka kini sedang merundingkan kerjasama dengan Universiti Waseda.

Penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia melakar sejarah tersendiri kerana ia adalah kampus cawangan universiti awam Jepun yang pertama ditubuhkan di luar negara berkenaan.

Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 11:59 PM