Prof Datuk Dr Mohd Shatar Sabran
Prof Datuk Dr Mohd Shatar Sabran
Yusmizal Dolah Aling


TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu digunakan semua pihak untuk mencapai sasaran tertentu termasuk dalam pendidikan dan kerohanian.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohd Shatar Sabran berkata, walaupun semua kegiatan dan rutin sebelum ini terhad dan tidak dapat dilakukan, ia tidak bermakna seseorang itu perlu stress dan bosan dengan hidup, sebaliknya ia perlu diisi dengan beberapa perkara bermanfaat.

Katanya, pengurusan waktu yang tepat boleh menjadikan hidup kita bermakna ketika dunia berdepan ancaman pandemik ini.

“Kepada mahasiswa, mereka boleh menggunakan ruang ini untuk mempelajari bahasa baru yang boleh menjadi nilai tambah selepas tempoh PKP selesai.

“Sama ada 14 hari atau ditambah lagi, bosan yang kita rasai ini perlu diuruskan. Sedar atau tidak begitu banyak benda yang boleh kita lakukan seperti pengisian rohani.

“Inilah masanya juga kita letakkan tetapan untuk kita capai dan hasilnya kita boleh lihat selepas selesai PKP ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi tip menghilangkan stress di laman Youtube yang antara lain menyentuh mengenai pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang tempoh PKP.

Katanya, bercucuk tanam, melakukan senaman di rumah antara aktiviti mudah yang boleh menghilangkan stress ketika kita sudah memasuki fasa ketiga PKP ini.

“Jangan biarkan diri kita stress, isikannya dengan pelbagai perkara yang boleh kita lihat hasilnya nanti. Umpamanya hasil tanaman yang kita akan lihat selepas PKP. Atau senaman yang akan memberikan kita kesihatan dan bentuk badan yang menarik. Mudahnya, kita perlu uruskan stress terutama ketika PKP, tidak kira bila ia akan ditamatkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 7:16 PM