KETINGGIAN Xiao Mai menakutkan lelaki untuk menjadikan dia sebagai calon pasangan hidup. FOTO Agensi
KETINGGIAN Xiao Mai menakutkan lelaki untuk menjadikan dia sebagai calon pasangan hidup. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Xiao Mai adalah seorang wanita yang cantik dan baru berusia 25 tahun, namun kerana ketinggian luar biasanya menyebabkan gadis dari wilayah Heilongjiang di China ini sukar mencari teman lelaki.

Ketinggiannya yang mencecah 2.26 meter (m) menakutkan kepada lelaki untuk menjadikan dia sebagai calon pasangan hidup.

Oddity Central melaporkan, namun wanita itu tidak berputus asa.

Beberapa bulan lalu, dia memperkenalkan dirinya kepada dunia menerusi klip pendek dan video itu tular di media sosial kerana ketinggian luar biasanya.

Idea untuk menyiarkan video pertama dirinya itu datang daripada ibu Xio Mai sendiri selepas menonton klip seorang gadis dari Shanghai yang melamar teman lelakinya dalam talian, dan dia mendapat inspirasi untuk menggunakan teknik sama untuk mencarikan jodoh untuk anak perempuannya itu.

Selain mempamerkan ciri fizikal Xiao Mai yang mengagumkan, ia juga menunjukkan detik-detik kehidupan hariannya serta rayuan ibunya kepada semua orang yang menonton untuk mencadangkan teman lelaki yang sesuai untuknya.

Video itu menjadi tular dan tidak lama kemudian orang yang tidak dikenali mula muncul di Heilongjiang dan meminta untuk bertemu gadis itu.

SEMASA membesar, Xiao Mai juga jauh lebih tinggi daripada kebanyakan kanak-kanak seusianya. FOTO Agensi
SEMASA membesar, Xiao Mai juga jauh lebih tinggi daripada kebanyakan kanak-kanak seusianya. FOTO Agensi

Kisah Xiao Mai juga menjadi tajuk utama berita di China apabila video pertamanya pada April lalu, tular.

Pada mulanya, gadis muda itu kelihatan janggal di hadapan kamera, tetapi dia dan ibunya terus memuat naik foto dan video lagi dalam keadaan lebih selesa.

Keluarga itu kemudian mendapat kunjungan daripada orang yang tidak dikenali dari seluruh negara.

Bukan semua yang berkunjung itu adalah calon pelamar, sebaliknya terdapat orang ramai yang ingin bergambar bersama Xiao Mai.

Xiao Mai menambah bahawa dia merasakan kebaikan orang ramai terhadapnya sudah membantunya menjadi lebih yakin mengenai ketinggian dimilikinya.

Semasa membesar, Xiao Mai juga jauh lebih tinggi daripada kebanyakan kanak-kanak seusianya, dan pada masa dia berada di darjah tujuh, ketinggiannya sudah mencecah 1.8 m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:26 PM