AKBERDIN Abdul Kader mewakili pelakon, Hafidz selepas sebutan kes mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada. FOTO Asyraf Hamzah
AKBERDIN Abdul Kader mewakili pelakon, Hafidz selepas sebutan kes mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada. FOTO Asyraf Hamzah
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Kubu Bharu: Peguam yang mewakili pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader menjelaskan tidak ada sebarang provokasi mahupun ugutan yang menjadi faktor mengapa pengadu yang juga bekas isteri Hafidz, Nurul Shuhada Mat Shukri menarik balik kes dakwaan terhadap anak guamnya

Akberdin berkata, laporan polis penarikan balik kes Hafidz yang didakwa menumbuk wanita itu pada tahun lalu itu dibuat secara suka rela.

"Sebenarnya, pihak-pihak sudah selesaikan perkara ini secara baik. Tiada sebarang provokasi atau ugutan. Mereka dah selesaikan semua isu berkenaan rumah tangga secara baik.

"Seperti mana yang saya cakap, laporan yang dibuat adalah tanpa paksaan dan dengan suka rela," katanya.

Menurut Akberdin, laporan penarikan balik yang dibuat Shuhada pada 6 Julai lalu itu juga akan diteliti sebelum dimaklumkan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kepada mahkamah pada 2 Ogos ini.

"Seperti yang dimaklumkan DPP kepada Hakim, pengadu, Shuhada sudah buat laporan polis menarik balik pada 6 Julai. Jadi, pihak polis dah terima dan kami pun dah terima daripada peguam Shuhada.

"Jadi, oleh kerana prosedur pendakwaan adalah untuk memastikan kandungan laporan itu, maka, mereka akan ambil kenyataan tambahan daripada pengadu. Jadi, mereka perlukan sedikit waktu dan sebab itulah Hakim setuju dan beri dua minggu.

"Ini peringkat daerah, jadi akan dirujuk kepada 'bos' (Pengarah Pendakwaan Negeri). Jadi, mereka akan teliti laporan dan arahkan Pegawai Penyiasat untuk ambil percakapan tambahan, adakah apa-apa bentuk ugutan atau apa.

"Selepas itu, apabila mereka sudah berpuas hati, jadi dia akan tarik baliklah. Tarikh akan datang adalah 2 Ogos dan pendakwaan akan maklumkan kepada mahkamah hasil penelitian," katanya.

Ditanya mengenai pengakhiran kes ini, Akberdin berkata, berdasarkan pengalamannya, semuanya dapat diselesaikan secara damai apabila semua pihak meneruskan kehidupan.

"Ini ekoran masalah rumah tangga dan kebanyakan kes begini boleh diselesaikan. Memanglah tegang, tapi selepas seketika, selepas semua pihak berfikir masak-masak, sebab ada anak dan sebagainya, boleh diselesaikan.

"Sebelum ini saya pernah buat kes seperti ini. Kalau dah ada penyelesaian dan terma dah jelas, teruskan kehidupan, jadi kawan untuk anak-anak. Jadi kawan baiklah.

"Benda ini dah berlalu dan mereka dah berdamai. Benda ini berlaku dalam banyak rumah tangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:17 PM