STEVEN, gambar fail. FOTO Bernama
STEVEN, gambar fail. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengambilan pekerja asing mahir (ekspatriat) tidak menjejaskan peluang rakyat Malaysia kerana hanya 7.07 peratus saja golongan itu bekerja di negara ini berbanding 92.93 peratus anak tempatan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, kementeriannya menerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) merekodkan, 73,450 pas aktif diluluskan Jabatan Imigresen (JIM) bagi syarikat berdaftar dalam sistem Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) sehingga 19 Jun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 29,928 pas aktif di bawah Kategori 1 (EPI), 27,914 pas aktif adalah Kategori 2 (EPII) serta 751 pas aktif di bawah Kategori 3 (EPIII) manakala 14,857 pas aktif di bawah Kategori Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK/PVP).

"Lima sektor utama, didahului dengan sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perniagaan, pendidikan serta minyak, gas dan tenaga," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang membangkitkan kewajaran Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) membenarkan kemasukan ekspatriat profesional dalam bidang teknologi maklumat (IT) tempatan sedangkan banyak profesional berbakat dalam bidang sama dalam kalangan anak tempatan.

Mengulas lanjut, Steven berkata, berdasarkan jumlah pas aktif terbabit, peratusan ekspatriat yang digajikan di Malaysia hanyalah 7.07 peratus berbanding peratusan pekerja tempatan sebanyak 92.93 peratus.

"Berdasarkan peratusan semasa ini membuktikan, isu pekerja asing mahir (ekspatriat) tidak mengganggu gugat peluang pekerja tempatan," katanya.

Katanya, Kesuma melalui TalentCorp sentiasa mengambil Langkah proaktif untuk meningkatkan ketersediaan bakat dan membangunkan saluran bakat yang sesuai dengan keperluan pelbagai sektor ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:47 PM