GAMBAR hiasan. FOTO MIKAIL ONG
GAMBAR hiasan. FOTO MIKAIL ONG
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bilangan kes Covid-19 dikesan, kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kes kematian menunjukkan peningkatan dari hari ke hari, sememangnya mengundang kerisauan semua pihak.

Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, diakui bilangan mereka yang divaksin dan menerima dos penggalak semakin meningkat.

Namun, katanya, tingkah laku manusia untuk mematuhi penjagaan pencegahan kepada penyakit ini masih tidak optimum.

"Kesesakan dalam ruangan dan berkumpul dalam satu ruang pada masa lama tanpa pengudaraan baik amat berpotensi untuk mewujudkan lonjakan jangkitan ini semula.

"Promosi kesihatan untuk mengingatkan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) meluas dan sering diutarakan di media, namun kita boleh perhatikan berapa ramai sentiasa memastikan tangan sentiasa bersih dan disanitasi, pemakaian pelitup muka sering ditukar untuk menjamin kebersihannya dan jarak di antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dalam pencegahan penyakit, tiga perkara perlu diingatkan semula iaitu perumah (host), persekitaran dan agen penyakit (virus Covid-19 dan selainnya).

Justeru, katanya, apa yang perlu semua pihak lakukan adalah pada diri dan persekitaran.

"Diri kita sebagai perumah (host) perlu dipastikan sihat dan cergas serta mempunyai daya tahan badan tinggi.

"Adakah kita sentiasa memastikan apa yang kita makan dan adakah tingkah laku kita mendorong kepada peningkatan daya tahan diri?

"Agen penyakit iaitu virus Covid-19 mudah menyerang mereka yang lemah daya tahan (imuniti). Kalau kita tidak mempunyai imuniti kuat, cubalah menjauhi dari persekitaran sesak dan praktiskan cara hidup sihat, elakkan stress, membuat saringan penyakit dan rawatan untuk kesihatan," katanya.

Beliau berkata, peningkatan kes sangat bergantung kepada tindak usaha diri manakala anak dan anak serta kumpulan berisiko perlu dijaga dengan sebaiknya dalam pematuhan SOP, pemakanan dan kesihatan mereka.

Menurutnya, sehingga kini, pihak kesihatan dan perubatan bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan pengalaman memberi rawatan semasa mengharungi wabak yang menghampiri dua tahun.

"Kita sebagai pengguna perkhidmatan ini sebaik mungkin perlu membantu mereka untuk memberi perkhidmatan berkualiti dengan memastikan kita sama-sama berusaha menjaga diri, keluarga dan rakan sekomuniti di sekeliling kita.

"Ingat dan mengingati sesama kita agar tidak berdepan lagi situasi memungkinkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika sistem perkhidmatan kesihatan lumpuh semula disebabkan peningkatan kes luar kemampuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 10:57 AM